Penduduk Bajau Laut Perlu Bantuan

Gambar Hiasan

Malaysia ditimpa gelombang ketiga COVID-19 berikutan peningkatan kes mendadak di Sabah, sekali gus mendorong Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Sabah kecuali kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Susulan itu, ramai penduduk Sabah terkesan terutama komuniti Bajau Laut. Bajau Laut ialah etnik Bumiputera kedua terbesar di Sabah selepas Kadazan Dusun di perairan Sabah.

Mereka juga dikenali sebagai Gipsi Laut atau Nomad Laut yang menetap di tepi pantai, malah ada membina perahu untuk dijadikan tempat penginapan.

Kebanyakan mereka bekerja sebagai nelayan. Mereka juga dikenali sebagai penyelam luar biasa kerana boleh bernafas dalam air selama 5 minit. Mereka juga banyak bergantung kepada laut sebagai sumber pendapatan utama.

Bagaimanapun disebabkan PKPB, mereka tidak dapat menjalankan aktiviti perikanan seperti biasa untuk dijual di pasar.

Akibatnya, pendapatan dan kehidupan nelayan terjejas. Secara tidak langsung, bekalan makanan mereka tidak mencukupi untuk menanggung keluarga ramai.

Baru-baru ini, tular kisah lelaki tua mengejar bot ronda Polis Marin dengan mendayung sampan uzurnya semata-mata ingin mendapatkan bantuan makanan. Pak Cik Ladja antara penduduk Bajau Laut Pala’u di Semporna, Sabah yang menjadi Kluster Bangau Bangau.

Difahamkan seramai 27 rumah tidak menerima bantuan makanan dan mereka terpaksa turun ke laut demi kelangsungan hidup. Usaha Pak Cik Ladja mendapatkan bantuan bagi penduduk kampungnya, mendapat perhatian ramai netizen.

Dalam kesempitan hidup Pak Cik Ladja, beliau sempat menitipkan doa buat petugas barisan hadapan untuk menangani pandemik COVID-19. Jelas di sini menunjukkan penduduk Bajau Laut amat memerlukan bantuan daripada kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Melihatkan situasi COVID-19 di Sabah itu, pelakon, Ardell Aryana membuat keputusan untuk menyertai misi bantuan di Sabah. Ardell yang juga Ikon Misi Kemanusiaan My Fund Action terbang ke Tawau bersama dua lagi aktivitis kemanusiaan untuk menghulurkan bantuan bagi mereka terjejas akibat COVID-19.

Menerusi perkongsian di Instagram, Ardell meluahkan rasa sayu terhadap nasib menimpa penduduk kampung itu. Apa lebih menyayat hatinya, seorang ibu sanggup mengendong anaknya berusia lingkungan 1 hingga 3 tahun sambil mengambil bantuan.

Sesungguhnya penularan COVID-19 memberikan kesan mendalam buat penduduk Bajau Laut. Ramai terpaksa mengikat perut sementara menunggu bantuan tiba. Ada pula kehilangan pendapatan akibat PKPB ini.

Sebagai rakyat bertanggungjawab pula, kita sewajarnya berganding bahu untuk meringankan beban penduduk Bajau Laut dengan memberi sumbangan termasuk kepada NGO yang ingin menyampaikan bantuan. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *