Kebenaran Keluar Negara Untuk Warganegara Dibenarkan

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengeluarkan panduan bagi prosedur pergerakan warganegara Malaysia dan warga asing sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun dalam satu kenyataan berkata, kebenaran keluar untuk warganegara Malaysia yang dibenarkan tanpa perlu kebenaran Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) diberikan kepada kategori tertentu seperti ditetapkan kerajaan persekutuan pada 15 September lalu.

Ini termasuk kebenaran untuk diplomat dan petugas kedutaan Malaysia yang ingin bertugas di luar negara termasuk tanggungan masing-masing; pelajar yang ingin menyambung pengajian dan baru mendapat tawaran berserta tanggungan; pelajar yang ingin mengambil peperiksaan; pemegang Pas Jangka Panjang di luar negara (Permastautin Tetap,Pas Residen,Pas Kerja dan lain-lain); bekerja dengan syarikat petrolium dan syarikat perkapalan dan perlu sign-on ke atas kapal di luar negara; baru mendapat tawaran kerja; serta mengiringi anak untuk belajar.

Manakala, bagi yang ingin menghadiri mesyuarat,seminar,pameran, urusan perniagaan atau urusan kecemasan boleh ke luar negara dengan mendapat kebenaran JIM.

Aktiviti melancong, bercuti dan lawatan biasa ke atas ahli keluarga ke luar negara adalah tidak dibenarkan.

Masidi sekali lagi mengingatkan sekatan kemasukan pemegang Pas Lawatan Jangka Panjang dari 23 negara ke Malaysia seperti ditetapkan kerajaan persekutuan pada 4 September lepas masih berkuat kuasa.

Ia melibatkan negara-negara seperti Amerika Syarikat, Brazil, India, Rusia, Peru, Colombia, Afrika Selatan, Mexico, Sepanyol, Argentina, Chile, Iran, United Kingdom, Bangladesh, Arab Saudi, Pakistan, Perancis, Turki, Itali, Jerman, Iraq, Filipina dan Indonesia.

Beliau berkata, semua pemegang Pas Lawatan Jangka Panjang dari 23 negara ini masih belum dibenarkan masuk ke Sabah. Ia termasuk pas ekspatriat, pas lawatan ikhtisas, pas lawatan kerja sementara, pas suami atau isteri kepada warganegara, Pemastautin Tetap (PR), Pas Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), pas residen dan pas pelajar.

Bagaimanapun, beberapa pengecualian diberikan kepada diplomat, staf kedutaan, anak kapal yang masuk ke Sabah bagi menjalankan aktiviti ‘sign-on’ atau ‘joint ship’ dan ‘sign-off’ serta kru dan pekerja profesional dalam industri minyak dan gas tertakluk kepada syarat-syarat ditetapkan.

Untuk kemasukan warga asing ke Malaysia selain dari 23 negara yang disenaraikan, pemegang pas lawatan jangka panjang sedia ada dibenarkan masuk dengan kebenaran JIM. Untuk pemegang pas lawatan jangka panjang yang baharu atau tamat tempoh masih belum dibenarkan.

Bagi diplomat, pemegang PR dan pas pelajar bagi pelajar yang ingin menamatkan pengajian sahaja dibenarkan masuk tanpa perlu mendapatkan kebenaran JIM. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *