i-Sinar: “Kalau Tiada Hari Ini, Tiada Masa Depan”

Alizakri berkata, tujuan penubuhan KWSP bagi memastikan setiap pencarum mempunyai simpanan pada usia tua kelak.

KUALA LUMPUR: Meskipun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dikhususkan untuk simpanan masa depan, namun institusi itu komited untuk membantu ahlinya dalam apa juga situasi khususnya ketika negara berdepan pandemik COVID-19.

Menurut Ketua Pegawainya, Alizakri Alias, sehubungan itu, kemudahan i-Sinar diperkenalkan bagi memperluaskan bantuan kepada pencarum selepas kemudahan i-Lestari dilaksanakan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.

“Kami faham situasi sekarang adalah waktu genting untuk kita menolong ahli-ahli untuk bertahan dan kita sebulat suara bersetuju mahu menolong ahli kita buat masa ini, usah cakap untuk masa hadapan.

“Itu sebab kita perkenalkan i-Sinar dan i-Lestari untuk kita bantu mereka yang betul-betul terjejas akibat COVID-19,” katanya menerusi temu bual eksklusif dalam program Agenda AWANI pada Khamis.

Dalam pada itu, Alizakri menegaskan, KWSP bukan seperti instituti perbankan yang boleh mengeluarkan wang masing-masing pada bila-bila masa.

Sebaliknya, beliau berkata, tujuan penubuhan institusi itu bagi memastikan setiap pencarum mempunyai simpanan pada usia tua kelak.

“Memang saya tidak menafikan ini adalah duit ahli kita, tetapi KWSP bukan macam bank. Kalau macam bank, duit ahli boleh dikeluarkan pada bila-bila masa.

“Sebaliknya, KWSP ditubuhkan hampir 70 tahun lalu atas kebijaksanaan kerajaan terdahulu bagi memastikan rakyat Malaysia yang bekerja mempunyai wang yang cukup pada usia tua,” katanya.

Selain itu, beliau menambah, KWSP juga memperkenalkan kadar penurunan caruman daripada 11 peratus kepada 7 peratus untuk membantu meringankan beban ahli dalam situasi sukar ini.

“Langkah itu bagi memastikan setiap ahli mempunyai lebihan wang untuk perbelanjaan harian.

“Justeru, i-Sinar bukanlah suatu perkara yang perlu dilihat secara persendirian, tetapi perlu dilihat secara menyeluruh daripada program i-Lestari, penurunan kadar caruman dan sekarang i-Sinar,” jelasnya. – AWANI

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *