Politik Boleh Tunggu, Beri Keutamaan Tangani Covid-19 Di Sabah – Masidi

Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun mahu terus memberi keutamaan kepada menangani peningkatan kes Covid-19 di Sabah berbanding perkara lain.

Beliau berkata, ketika ini kerajaan negeri tidak fikir untuk melaksana Pilihan Raya Kecil (PRK) kerana keutamaan adalah menguruskan pandemik Covid-19.

“Saya fikir perkara lain boleh tunggu, politik boleh tunggu. Namun, kita tidak boleh tunggu untuk mengambil langkah sepatutnya untuk menghentikan pandemik ini dari menjadi lebih teruk dan dalam keadaan terkawal.

“Keutamaan kerajaan Sabah adalah menangani penularan jangkitan Covid-19,” katanya ketika mengulas mengenai PRK Bugaya yang dijadualkan berlangsung pada 16 Januari 2021.

Beliau berkata demikian ketika sidang media secara atas talian mengenai perkembangan semasa Covid-19 negeri Sabah, di sini hari ini.

Masidi turut mencadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengambil pendekatan sama seperti di Batu Sapi bagi mengelakkan pelaksanaan pilihan raya ketika pandemik Covid-19.

Sebelum ini, Yang Dipertuan Agong mengiystiharkan darurat di Batu Sapi bagi menangguhkan proses PRK Batu Sapi yang sepatutnya berlangsung pada 5 Disember.

Timbalan Ketua Pimpinan BERSATU Sabah ini berkata, biarpun keputusan untuk menentukan pelaksanaan pilihan raya terletak di bawah SPR namun, masih ada langkah yang boleh diambil bagi mengelak pelaksanaan pilihan raya ketika kes Covid-19 masih tinggi.

“Atas sebab itu, kita harap SPR akan lihat langkah dikuatkuasakan di Batu Sapi sebagai pilihan yang boleh dipertimbangkan.

“Bagaimanapun, kuasa mengisytihar darurat bergantung kepada Yang Dipertuan Agong setelah mendapat nasihat kerajaan dan kerajaan pula mendapat nasihat dan rekomendasi SPR,” jelasnya.

Kerusi DUN Bugaya kini kosong susulan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manis Muka Darah meninggal dunia akibat masalah buah pinggang pada 17 Nov lepas.

Dua hari lalu, SPR mengumumkan PRK Bugaya akan diadakan pada 16 Jan 2021. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *