Tokan Dadah Dicekup Bersama Syabu Di Kalabakan

Suspek warga asing ditahan bersama Syabu seberat 47.47 gram dalam serbuan di sebuah rumah ladang, di Kalabakan petang kelmarin. Gambar ihsan ESSCOM

KALABAKAN: Lelaki Indonesia disyaki tokan dadah ditahan bersama 47.47 gram syabu bernilai lebih RM4,200 dalam serbuan di sebuah rumah ladang, dekat sini, kelmarin.

Serbuan dilakukan sepasukan anggota Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) yang sedang melakukan tugas rondaan jarak jauh (RJJ) Op Benteng, selepas mendapat maklumat, di ladang bukit Tukok Sabah Softwood, pada 4.30 petang.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, ketika serbuan suspek berusia 20 tahun cuba melarikan diri namun berjaya ditahan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Pemeriksaan terhadap beg silang milik suspek kemudiannya menemukan lima paket plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 47.47 gram.

“Turut ditemui wang tunai RM270 disyaki hasil penjualan dadah dan satu unit alat penimbang digital dengan nilai keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM 4,470,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ahmad Fuad berkata, suspek bersama barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis daerah Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pada itu, beliau menegaskan ESSCOM dengan kerjasama semua pasukan keselamatan sentiasa memperketatkan kawalan keselamatan dengan melaksanakan rondaan agresif secara bersepadu bagi mengekang dan membanteras sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan dan penyeludupan di negara ini.

“Sehubungan, orang ramai digesa menjalin kerjasama dengan menjadi mata dan telinga kerajaan termasuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang negara kepada Pusat Operasi (PUSOP) ESSCOM ditalian 089-863181 ataupun menghubungi balai polis yang berhampiran,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *