PPM Patahkan Cubaan Seludup Ubat Sabung Ayam & Petrol

PPM Semporna menunjukkan barang yang berjaya dirampas dalam serbuan di Pondohan Kuala Bibang, Semporna.

SEMPORNA: Cubaan empat lelaki menyembunyikan petrol serta ubat-ubatan haiwan di kawasan Kuala Bibang dekat sini, dipercayai untuk diseludup keluar ke negara jiran, digagalkan Pasukan Polis Marin (PPM) semalam.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna Deputi Superintendan Mohamad Ismail berkata, pihaknya yang melakukan pemeriksaan di kawasan pondohan (rumah kecil atas air) Kuala Bibang menyerbu empat lelaki yang leka memunggah tong dan kotak dari tiga bot ke dalam pondohan pada 7 malam.

Barang perubatan haiwan tanpa lesen dan petrol berjaya dirampas PPM Semporna di kawasan Pondohan Kuala Bibang, Semporna.

“Suspek yang menyedari kehadiran pasukan keselamatan melarikan diri namun seorang daripada mereka yang berusia 30-an berjaya ditahan.

“Anggota yang melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian menemui 21 tong berisi 525 liter petrol, 24 tong minyak kosong dan empat kotak ubat-ubatan haiwan tanpa lesen,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, tangkapan dan barang rampasan termasuk tiga bot laju serta enjin bernilai RM83,386.75 itu kemudian dibawa ke Pangkalan PPM Semporna untuk tindakan lanjut.

Katanya, PPM Wilayah 4 Sabah menasihati komuniti maritim agar menyalurkan maklumat dengan melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian 24 jam MERS999 atau WhatsApp Pusat Komunikasi PPM Sabah di 013-2831 197. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *