Polis Tahan Orang Tengah Hantar Syabu Ke Sipitang

Suspek bersama dadah syabu yang dirampas polis ketika menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan Op Covid-19 di Sipitang.

SIPITANG: Tunggu kawan untuk hantar minyak.

Itu alasan seorang lelaki yang ditahan polis selepas didapati membawa syabu bernilai RM5,000 di perhentian bas di Kampung Kalamauh, di sini, semalam.

Dalam kejadian 12.30 tengah malam itu, lelaki berusia 22 tahun itu ditahan bersama motosikalnya oleh sepasukan polis bersama anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang melakukan pemantauan dan penguatkuasaan Op Covid-19 di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sipitang Deputi Superintendan Champin Piuh berkata, pemeriksaan awal mendapati suspek berasal dari Kampung Likas, Kota Kinabalu.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut kemudiannya membawa kepada penemuan beberapa bungkusan plastik berisi ketulan hablur dipercayai dadah jenis syabu yang dianggarkan seberat 51.2 gram di tempat duduk motosikal suspek.

“Tangkapan dan rampasan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sipitang untuk siasatan lanjut bagi mengenalpasti rakan suspek yang dipercayai menempah dadah syabu berkenaan.

“Turut disita sebuah motosikal Yamaha Y15ZR yang digunakan suspek untuk membawa dadah berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Champin berkata, hasil ujian saringan ujian air kencing yang dijalankan terhadap suspek turut didapati positif dadah jenis amphetamine dan methaphetamine.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mana sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan tidak kurang daripada 15 sebatan.

Champin berkata, pihaknya mendapati kes berkenaan adalah modus operandi terbaru pengedar dadah yang mengupah orang luar daerah untuk menghantar bekalan dadah ke Sipitang.

Sehubungan itu katanya, semua petugas Sekatan Jalan Raya (SJR) di sini, diarahkan supaya membuat pemeriksaan teliti terutamanya penunggang motosikal yang datang dari luar Sipitang pada waktu malam.

“Modus operandi tangkapan kali ini menggunakan motosikal untuk menghantar dadah syabu ke daerah Sipitang,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *