Lucas Kalang Laeng Dilantik Ketua Jurulatih Baharu Sabah FC

Lucas Kalang Laeng

KOTA KINABALU, 30 Nov : Kelab Bola Sepak Sabah (Sabah FC) hari ini mengumumkan pelantikan Lucas Kalang Laeng sebagai ketua jurulatih baharu bagi menghadapi kempen Liga Malaysia (Liga-M) 2021.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Verdon Bahanda berkata beberapa calon telah dinilai bagi mengisi kekosongan jawatan berkenaan dan pemilihan Lucas untuk membimbing skuad Tambadau adalah berdasarkan kelebihan yang dimiliki jurulatih kelahiran Sarawak itu.

“Beliau memiliki lesen kejurulatihan Pro A dan jurulatih tersebut juga mempunyai kepakaran dalam bidang sains sukan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Verdon berkata Sabah FC mengucapkan terima kasih dan selamat maju jaya kepada bekas ketua jurulatihnya Kurniawan Dwi Yulianto dan bekas jurulatih kecergasan Sofie Imam Faizal selepas kontrak mereka tidak disambung musim depan.

Lucas pernah membimbing pasukan Sarawak pada musim 2019 dan antara sembilan jurulatih dari pasukan Liga-M menyertai Kursus Kejurulatihan Diploma Profesional AFC 2019-2020 modul keempat yang diadakan pada 1 hingga 14 Okt tahun lepas.- BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *