PKPD Di Kampung Numbak, Penempatan Telipok Dilanjut 14 Hari Lagi

PETALING JAYA: Kerajaan melanjutkan perintah kawalan pegerakan diperketatkan (PKPD) di Kg Numbak dan Petempatan Telipok, di Kota Kinabalu, Sabah selama 14 hari lagi bermula 30 Nov hingga 16 Dis.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD itu sepatutnya berakhir 29 Nov ini, tetapi disambung lagi kerana masih terdapat kes aktif Covid-19 di dua kawasan itu.

“Sehingga 27 lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan masih terdapat 109 kes aktif di Kg Numbak, manakala 136 kes aktif di Petempatan Telipok.

“Selain jumlah kes aktif yang masih tinggi, terdapat ramai lagi penduduk di kedua-dua lokaliti ini yang perlu menjalani ujian saringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ismail berkata, polis menahan 648 individu atas kesalahan ingkar arahan perintah kawalan pergerakan (PKP) semalam.

Katanya, daripada jumlah itu, 594 individu dikompaun dan 54 direman.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP, termasuk aktiviti pusat hiburan (331), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (102), tidak memakai pelitup muka (65), rentas negeri atau daerah perintah kawalan pegerakan bersyarat (PKPB) tanpa kebenaran (64), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (60) dan lain-lain (26),” katanya.

Ismail berkata, dalam Operasi Benteng semalam, 99 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan dua penyeludup ditahan, sementara dua kenderaan darat dirampas.

Katanya, sebanyak 280 sekatan jalan (SJR) diadakan di seluruh negara. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *