Marah Tak Dapat Rogol Anak Tiri, Lelaki Campak Cucu Dari Tingkat 4 Hingga Maut

Mangsa yang juga seorang kanak-kanak berusia empat tahun maut selepas dicampak dari tingkat empat sebuah pangsapuri oleh datuk tirinya.

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Nigeria ditahan selepas disyaki mencampak cucu tirinya yang berusia empat tahun sehingga maut dari tingkat empat apartment Danau Villa, Setapak di sini awal pagi Ahad.

Tindakannya berbuat demikian adalah kerana berang gagal merogol anak tirinya yang sedang tidur di ruang tamu sebelum dihalang isteri serta anak-anak yang lain.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid berkata, sebelum bertindak sedemikian, berlaku pergaduhan antara suspek yang berusia 42 tahun dengan isterinya warga tempatan berusia 48 tahun.

Pergaduhan itu, kata Nik Ros Azhan, dipercayai berpunca daripada perbuataan suspek yang cuba merogol salah seorang anak tirinya berusia 24 tahun yang juga ibu kepada kanak kanak yang maut.

Suspek juga, kata beliau, dipercayai cuba melemaskan anak kandungnya yang berusia lapan tahun dalam baldi, namun kanak kanak itu dapat melepaskan diri.

Siasatan awal polis mendapati, pasangan suami isteri itu mendiami pangsapuri berkenaan bersama lima orang anak dan seorang cucu.

“Pagi tadi berlaku pertengkaran suami isteri di mana suspek cuba merogol salah satu anak tirinya dan kemudian telah cuba melemaskan seorang anaknya yang berusia lapan tahun kemudian anak yang berusia ampat tahun dipercayai telah dibunuh daripada atas dan dicampak ke bawah,” kata Nik Ros Azhan.

Menurut Nik Ros Azhan, lelaki itu kemudian cuba melarikan diri namun mengalami kecederaan selepas terjun dari pangsapuri berkenaan melalui tingkap.

Kata beliau polis masih menjalankan siasatan dengan menemubual jiran-jiran suspek.

Mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.Suspek juga dibawa ke HKL dan ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Siasatan mendapati warga Nigeria itu berkahwin dengan wanita tempatan berkenaan sejak 10 tahun lepas dan mempunyai seorang anak lelaki berusia lapan tahun.

Isterinya pula mempunyai empat orang anak berusia 19 hingga 29 tahun serta seorang cucu berusia empat tahun daripada perkahwinan terdahulu. – AWANI

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *