Ada Keperluan Untuk Majlis Presiden GRS – Bung

Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin berkata sekiranya majlis presiden mendatangkan manfaat dan memperkukuhkan gabungan itu ia perlu diadakan.

KOTA KINABALU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Bung Moktar Radin, percaya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu ada majlis presidennya sendiri.

Beliau berkata, majlis itu akan berperanan dalam membincangkan isu “sensitif”.

“Sekiranya ia mendatangkan manfaat dan memperkukuhkan kita, kenapa tidak? Saya rasa ada keperluan untuk majlis presiden supaya ketua parti boleh membincangkan antara satu sama lain secara lebih mendalam terhadap perkara yang tidak sesuai dibincangkan dalam kumpulan besar,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, Bung yang juga Adun Lamag dan timbalan ketua menteri berkata, perkara itu masih belum dibangkitkan dalam GRS.

Ditanya adakah semua pemimpin parti komponen GRS perlu menjadi anggota majlis itu, beliau berkata: “Kami akan memikirkannya apabila memutuskan untuk menubuhkan majlis itu.”

Semalam, Presiden PPBM Muhyiddin Yassin mencadangkan majlis presiden diwujudkan yang dianggotai ketua parti dalam kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) iaitu Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), dan GRS.

“Ini penting kerana tidak semua ketua parti berada dalam Kabinet justeru menerusi mesyuarat ini ketua parti boleh menyalurkan pandangan masing-masing untuk dipertimbangkan dalam pelaksanaan dasar,” katanya.

Gabungan kerajaan Sabah terdiri daripada PN, BN dan PBS. PN Sabah merangkumi PPBM Sabah, STAR dan SAPP manakala BN merangkumi Umno, MCA dan PBRS.

Penganalisis sebelum ini menyatakan GRS ibarat bom jangka dan meramalkan gabungan itu akan sukar mengekalkan gabungannya selepas kemenangan tipis pada pilihan raya Sabah.

Penganalisis terbabit melihat potensi pergaduhan dalaman, persaingan sesama sendiri, dan personaliti yang kuat dalam gabungan longgar itu seperti pemicu yang akan memecahkan GRS. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *