Bantu Pesawah Di PKPD Kampung Nahaba, Tegudon

Anggotar keselamatan melakukan pemeriksaan semasa sekatan jalan raya di laluan keluar masuk ke Kampung Tegudon dan Kampung Nahaba di Kota Belud. Gambar Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan menyediakan bantuan kepada pesawah di Kampung Nahaba dan Tegudon, Kota Belud yang tidak dapat menuai padi berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kedua-dua kampung itu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata kerajaan negeri memahami kebimbangan pesawah tetapi PKPD perlu dipatuhi bagi memutuskan penularan Covid-19.

“Kerajaan prihatin dan menyedari kesukaran yang dihadapi pesawah di Kampung Nahaba dan Tegudon yang tidak dapat menuai disebabkan pelaksanaan PKPD.

“Bagi meringankan beban mereka, kerajaan negeri ada menyediakan Bantuan Prihatin Covid-19 kepada petani, pekebun, penternak dan nelayan yang berdaftar dengan Kementerian Pertanian dan Perikanan negeri,” katanya pada sidang media Covid-19 Sabah, di sini, malam tadi.

Masidi mengulas kebimbangan disuarakan pesawah di kampung terbabit mengenai padi mereka yang sudah masak tetapi tidak dapat dituai disebabkan PKPD.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan pelaksanaan PKPD di kedua-dua kampung bermula 20 November hingga 3 Disember depan selepas ramai penduduknya dikesan positif Covid-19.

Sehingga semalam, Masidi berkata seramai 829 penduduk sudah disaring di kedua-dua kampung dengan 44 orang atau 5.3 peratus daripada jumlah yang disaring didapati positif, manakala 785 orang negatif Covid-19.

Sementara itu, Masidi yang juga jurucakap Covid-19 kerajaan negeri, berkata kerajaan melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) juga giat menyelaras pengagihan bantuan bakul makanan untuk membantu penduduk di kawasan berkenaan.

“Kerajaan juga berterima kasih kepada pemimpin politik dan badan bukan kerajaan (NGO) yang memberi bantuan meliputi keperluan makanan basah seperti sayur-sayuran, ayam dan ikan serta barangan keperluan harian seperti lampin pakai buang dan sabun,” katanya.

Selain bantuan, beliau berkata kerajaan turut membenarkan seorang wakil keluarga dari kedua-dua kampung untuk keluar membeli barangan keperluan bukan makanan yang diperlukan mereka sepanjang pelaksanaan PKPD. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *