18,000 Penduduk Taman Telipok Ria Jalani PKPD Bermula Hari Ini

Persediaan memasang dawai kawat sedang dilakukan oleh anggota ATM dan TLDM di PKPD Taman Telipok Ria, Tuaran hari ini.

TUARAN: Kira-kira 18,000 penduduk Taman Telipok Ria dekat sini, menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula hari ini sehingga 10 Disember depan.

Terdiri daripada 30 blok pangsapuri dan 3,400 unit kediaman, kawasan PKPD berkenaan berkeluasan 28 hektar sekali gus difahamkan lokasi PKPD terbesar di Sabah.

Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, semua jalan utama bagi tujuan keluar masuk di kawasan berkenaan ditutup sepenuhnya sepanjang pelaksanaan PKPD.

Katanya, bagi prosedur operasi standard (SOP), hanya seorang daripada setiap rumah dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan asas selain urusan pengeluaran wang.

“Bagaimanapun, mereka hanya dibenarkan membeli barangan di kedai dalam kawasan PKPD ini sahaja.

“Semua premis perniagaan di sini akan beroperasi bermula jam 6 pagi sehingga jam 6 petang.

“Selain itu, kita juga akan membuka pasar basah dua kali seminggu bermula jam 6 pagi sehingga jam 2 petang.

“Penduduk di sini juga tidak perlu bimbang walaupun mereka dikatakan hilang punca rezeki. Kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menyediakan bakul makanan kepada mereka yang terjejas sepanjang PKPD,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau pemasangan kawat berduri di sekitar Taman Telipok Ria.

Proses pemasangan membabitkan 220 gelung pagar kawat berduri sekitar lokaliti itu dilaksanakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Sementara itu, Mohd Hamizi menyatakan, penugasan sepanjang PKPD di Taman Telipok Ria adalah 24 jam setiap hari membabitkan Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan ATM. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *