Rohan Shah Ketua Polis Daerah Lahad Datu Baharu

Nasri (kiri) menyerahkan dokumen serah tugas kepada Rohan disaksikan Mazli.

LAHAD DATU: Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Risikan Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Lahad Datu yang baharu.

Rohan mengambil alih tugas itu daripada Asisten Komisioner Nasri Mansor yang bertukar posisi dengannya.

Majlis Serah Terima Tugas berlangsung di Dewan Sri Mawar Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu yang disaksikan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah DCP Datuk Mazli Mazlan.

Mazli yang mewakili Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali ketika berucap berkata, pertukaran itu diharap dapat menyambung pimpinan untuk memperkasakan kemampuan keberkesanan pasukan dalam menghadapi apa jua cabaran mendatang.

“Pertukaran dapat memperkaya dan memperluaskan tugas kepada pegawai dan mampu menyumbang ke arah peningkatan produktiviti serta membolehkan pegawai melihat organisasi dari prespektif yang berbeza dalam membawa perubahan keberkesanan dalam organisasi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang disampaikan Mazli selepas menyaksikan Majlis Serah Tugas Ketua Polis Daerah dan Pengerusi PERKEP Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Kunak Superintendan Baharin Md Tahir.

Menurut beliau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah mempunyai halatuju dalam mencapai visi dan misi yang telah ditetapkan pucuk pimpinan.

Katanya, ketualah yang memainkan peranan dalam mencorakkan masa depan organisasi di bawah kepimpinannya.

“Adalah menjadi hasrat PDRM Sabah untuk melihat kesinambungan dan kelangsungan kepimpinan yang dinamik serta berterusn seperti yang pernah dipikul dan dipersembahkan rakan-rakan yang terdahulu.

“Apa juga bantuan, nasihat, idea dan tunjuk ajar yang diperlukan dalam apa juga permasalahan, kita semua akan sedaya upaya membantu sebagai satu pasukan umpama ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing,” katanya.

Hazani berkata, dunia kepolisian masa kini berkembang dan berbeza serta ekspektasi masyarakat kepada PDRM semakin tinggi.

Menurutnya, dalam melaksanakan tugas penguatkuasaan isu-isu keselamatan termasuk jenayah menjadi semakin kompleks dan mencabar.

Katanya, atas sebab itu kebajikan semua anggota perlu diambil berat kerana ianya mampu meningkatkan prestasi, semangat dan kualiti kerja.

“Dalam keadaan tugas dan tekanan kerja yang semakin berat dan mencabar, saya percaya adalah penting mereka bekerja dalam suasana dan budaya kerja yang harmoni di pejabat yang secara tidak langsung boleh membantu mereka menangani tekanan kerja seterusnya memastikan mereka dapat berkhidmat dengan baik demi keselamatan dan keamanan,” katanya. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *