Lebih 100 Bas Henti-Henti Di Batu Sapi Laksana Disinfeksi

Foto BERNAMA

SANDAKAN : Dalam usaha mengekang penularan pandemik COVID-19, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sandakan mengambil inisiatif melakukan proses disinfeksi terhadap lebih 100 buah bas henti-henti di Batu Sapi, di sini hari ini.

Ketua JBPM Zon Sandakan Martin Thomas berkata langkah proaktif itu diambil untuk memastikan keselamatan dan kesihatan penumpang terjamin, khususnya di Batu Sapi yang merupakan antara kawasan mencatatkan jumlah kes COVID-19 tertinggi di Sandakan.

“Kami juga mengajar pengusaha bas bagaimana untuk membuat disinfeksi terhadap kenderaan masing-masing baik di dalam mahupun di luar bas supaya mereka dapat melakukannya dari semasa ke semasa,” kata kepada pemberita selepas program itu.

Selain disertai 10 anggota JBPM daripada Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, program itu turut dijayakan oleh agensi lain seperti Ibu Pejabat Polis Daerah, Pejabat Kesihatan Daerah, Majlis Perbandaran Sandakan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri.

Sementara itu,  Timbalan Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana Sandakan yang juga Ketua Polis Daerah ACP Azhar Mohd Hamin berkata program berkenaan akan diperluaskan kepada pengusaha e-hailing selain akan turut dilakukan di tempat awam termasuk di masjid.

Selain itu, katanya sekatan jalan raya di kawasan tersebut turut diperketatkan di dua laluan utama ke Batu Sapi sejurus selepas darurat diisytiharkan di kawasan berkenaan minggu lepas.

“Kami mahu memastikan masyarakat sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan. Tiada sekatan ke atas sesiapa untuk keluar bekerja atau membeli barang asalkan memenuhi SOP,” katanya.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi sepatutnya diadakan pada 5 Dis depan dengan hari penamaan calon dijadualkan semalam (23 Nov).

Namun, berikutan peningkatan kes COVID-19 di Sandakan dengan sekurang-kurangnya lima kluster dikenal pasti bermula di Batu Sapi, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengisytiharkan Proklamasi Darurat terhadap kawasan parlimen itu pada 18 Nov lepas.

Hingga semalam, Sandakan mencatatkan 1,155 kes aktif. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *