Ancaman, Cacian Dan Kritikan, Cabaran Mental Dihadapi Petugas Kesihatan Labuan

Gambar BERNAMA

LABUAN : Ancaman, cacian dan kritikan adalah antara cabaran mental yang dihadapi petugas kesihatan Labuan ketika menjalankan saringan COVID-19 di Skim Penempatan Masyarakat Pelarian (SPMP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Kiamsam dan Kg Muslim.

Walaupun tidak menghadapi serangan fizikal, petugas kesihatan di sini terpaksa berdepan pelbagai halangan dalam mengendalikan pendatang asing yang sebolehnya mengelak daripada disaring kerana takut ditahan dan dihantar pulang berikutan tidak mempunyai dokumen sah.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata cabaran sedemikian harus dihadapi dengan berani oleh petugas kesihatan dalam usaha mengurangkan jangkitan COVID-19 di dua penempatan yang berisiko tinggi itu.

“Kami tiada pilihan selain perlu bersedia menghadapi segala kemungkinan…kami mempunyai pengalaman melalui jambatan kayu yang usang untuk bertemu penduduk di penempatan air setinggan di Kg Muslim, Saguking Laut dan Sebor Baru.

“Kini, kami sedang menghadapi cabaran lebih hebat apabila dicaci, diancam dan dikritik bukan daripada masyarakat setempat tapi daripada mereka yang tinggal di penempatan itu…ada kalanya kami terpaksa menjejak tempat persembunyian untuk meminta mereka keluar melakukan saringan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Menurut Dr Ismuni, kebanyakan penduduk di penempatan itu melarikan diri apabila melihat petugas kesihatan dengan memakai peralatan perlindungan diri (PPE), namun meminta mereka agar memberi kerjasama ketika menjalani ujian saringan kerana Labuan masih dalam usaha melandaikan lengkung COVID-19.

“Mereka tidak boleh melarikan diri, pendekatan kami sekarang tidak akan memberi gelang dan menjalani kuarantin…hanya kepada mereka yang ada gejala atau kontak rapat kepada kes positif, akan berbuat demikian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Labuan Supt Muhamad Farid Ahmad berkata mereka sedar dengan cabaran mental (seperti ancaman, cacian dan kritikan) yang dihadapi petugas kesihatan Labuan dan turut menempatkan anggota polis di penempatan terbabit.

Katanya, kebanyakan penduduk di penempatan itu melarikan diri atau elak disaring kerana takut dipaksa menjalani kuarantin dan tidak dapat mencari rezeki untuk menyara kehidupan khususnya mereka yang bergaji hari.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak menghalang mana-mana penjawat awam menjalankan tugas kerana jika sabit kesalahan mereka boleh dipenjara dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya, mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *