PARLIMEN: ‘Sudah Habis Kuarantin Atau Belum?’

Dr Jeffrey G Kitinga

KUALA LUMPUR: Kehadiran seorang Ahli Parlimen dari Sabah di Dewan Rakyat mencetuskan persoalan sama ada wujud ‘pilih kasih’ dari segi pelaksanaan perintah kuarantin wajib.

Situasi panas yang mengundang pertikaian dalam kalangan pemimpin pembangkang itu timbul selepas bekas Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Dr Jeffrey G Kitingan, didakwa berada di Sabah pada Khamis lalu.

Justeru, Timbalan Ketua Menteri Sabah itu dikatakan gagal memenuhi tempoh kuarantin selama dua minggu seperti diperuntukkan kerajaan terhadap mana-mana individu yang pulang atau datang dari Negeri di Bawah Bayu.

Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) yang menyedari kelibat Jeffrey membangkitkan Peraturan Mesyuarat 99 dan meminta Speaker membuat keputusan, sama ada Ahli Parlimen Keningau itu dibenarkan terus berada di dalam Dewan Rakyat atau perlu menjalani kuarantin.

Timbalan Speaker, Datuk Seri Azalina Othman Said, meminta tempoh untuk mendapatkan perincian lanjut sebelum membacakan kenyataan rasmi Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin.

“Keningau (Jeffrey) dibenarkan hadir oleh doktor klinik Parlimen. Beliau mendapatkan arahan pelepasan selepas tamat kuarantin daripada KKM

“Ini jawapan rasmi yang saya dapat,” katanya sebelum sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 bagi Kementerian Pendidikan di sini, hari ini.

Tidak berpuas hati dengan pencerahan itu, Datuk Mohd Azis Jamman (WARISAN-Sepanggar) meluahkan kekesalannya kerana ‘terkurung’ di Kuala Lumpur selama dua minggu dan tidak pulang ke Sabah bagi mengelak risiko penularan COVID-19.

Datuk Mohd Azis Jamman (WARISAN-Sepanggar).
Datuk Mohd Azis Jamman (WARISAN-Sepanggar).

Mendedahkan hampir dua bulan tidak berpeluang berjumpa ahli keluarga, bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri itu berkata, pengorbanan itu adalah selari arahan kerajaan bagi menangani jangkitan wabak di dalam Parlimen.

“Kita tidak balik ke Sabah sebab nanti terpaksa kuarantin lagi 14 hari, tetapi Keningau hari ini ada dalam dewan, padahal hari Khamis lalu hadir sidang DUN.

“Kalau ikutkan kiraan hari, beliau tidak sepatutnya ada dalam dewan ini kerana nak elakkan Ahli Parlimen dijangkiti COVID-19.

“Wabak ini tidak pilih jawatan, surat arahan atau pengecualian daripada sesiapa pun.

“Makcik saya meninggal dunia di Semporna dua minggu lalu, saya tidak dibenarkan balik walaupun lalui ujian dan disahkan klinik bahawa bebas daripada COVID-19.

“Kami diminta berkorban, kami akur. Tetapi kalau jadi begini, baik kami balik dua minggu untuk lawat makcik saya yang meninggal,” katanya.

Mengakui asas kebimbangan dan pertikaian yang dikemukakan, Azalina berkata, sebarang ketidakpuasan hati berhubung kehadiran mana-mana Ahli Parlimen sepatutnya diajukan kepada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dan KKM.

Timbalan Speaker, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Timbalan Speaker, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Azalina menegaskan kelulusan kehadiran mana-mana Ahli Parlimen tertakluk kepada bidang kuasa pihak berkaitan.

“Kalau tidak puas hati mengenai arahan KKM, kena bawa kepada Speaker. Saya dapat arahan untuk laksanakan jawapan daripada menteri.

“Kepada isu yang ditimbulkan seperti berlaku seolah-olah macam pilih kasih, bawa perkara berkenaan kepada Speaker, saya tidak boleh jawab bagi pihak Speaker,” katanya.

Azhar yang masuk tidak lama selepas itu menjelaskan Jeffrey mendapat arahan pelepasan daripada KKM selepas gelang kuarantinnya dipotong oleh Pejabat Kesihatan Lembah Pantai, semalam.

Memberikan perincian lanjut, Azhar berkata tempoh kuarantin yang dijalani oleh Ahli Parlimen itu ialah dari 12 November dan disahkan berakhir semalam.

“Biar saya hubungi pihak berkuasa, termasuk Pejabat Kesihatan Lembah Pantai ini untuk dapatkan maklumat lanjut,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *