Bermula Esok, Wajib Swab Test Sebelum Keluar Dari Sabah

Gambar Hiasan

PUTRAJAYA : Bermula esok, pengembara yang tiba dari Sabah hanya perlu menjalani ujian pengesanan Covid-19 (swab test) tiga hari sebelum berlepas dari negeri itu.

Menteri kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dalam kenyataannya berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Keselamatan Negara (MKN) semalam susulan Sabah menunjukkan trend penurunan jangkitan baharu Covid-19 berbanding semenanjung terutama Lembah Klang.

Menurutnya, sekiranya pengembara berkenaan didapati positif Covid-19, mereka tidak dibenarkan keluar dari Sabah.

“Bagi yang positif, mereka akan dirujuk ke hospital untuk isolasi, rawatan dan pemantauan manakala bagi individu yang bergejala akan dirujuk menjalani pemeriksaan.

“Pengembara yang dibenar meneruskan perjalanan keluar dari Sabah akan melalui saringan demam dan gejala, pemeriksaan laporan ujian swab pengesanan Covid-19 serta diwajibkan penggunaan MySejahtera selepas di pintu masuk negara di semenanjung, Sarawak dan Labuan.

“Sekiranya mereka tidak bergejala dan laporan ujian makmal Covid-19 disahkan negatif, pengembara berkenaan tidak lagi perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari,” katanya.

Sebelum ini, bermula 11 Oktober lalu semua pengembara yang tiba dari Sabah diwajibkan melalui prosedur sedia ada selain diarah menjalani kuarantin wajib selama 14 hari.

Tindakan ini susulan peningkatan kes yang ketara di kebanyakan daerah di negeri tersebut selain peningkatan kes positif Covid-19 di negeri lain di Malaysia yang berkait dengan sejarah melawat Sabah.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *