Harga Emas Dijangka Lebih RM300 Segram Tahun Depan

Harga emas berpotensi melepasi paras tertinggi AS$2,075 seauns (RM8,514.25) atau RM300.33 segram

KUALA LUMPUR: Harga emas berpotensi melepasi paras tertinggi AS$2,075 seauns (RM8,514.25) atau RM300.33 segram tahun depan jika Parti Demokrat pimpinan Joe Biden memenangi dua kerusi Senat yang membolehkannya menguasai Parlimen dan Senat Amerika Syarikat (AS).

Perkara berkenaan dipantau rapat peserta pasaran emas kerana ia penting dalam menentukan lonjakan harga aset selamat itu berikutan janji Biden untuk memperkenalkan perjanjian infrastruktur bernilai hingga AS$1 trilion (RM4.1 trilion) dan perjanjian lain untuk menyokong ekonomi AS.

Ketua Strategi Pasaran Global ATFX, Alejandro Zambrano, berkata berdasarkan janji Biden yang mewakili 4.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara itu, ia akan melonjakkan harga emas dan menjadikan dolar AS lebih lemah.

“Tarikh 5 Januari adalah tempoh penting untuk pasaran emas. Jika Demokrat menang dua kerusi Senat dan Biden mengumumkan sesuatu pada 20 Januari berhubung pelaksanaan perjanjian infrastruktur terbabit, maka emas akan melonjak melepasi paras AS$2,075 seauns.

“Agak sukar untuk saya mengatakan potensi kemenangan Demokrat sama ada besar atau sebaliknya. Namun, berdasarkan laman web analitik pilihan raya terkemuka, fivethirtyeight.com peluang Demokrat adalah 63 peratus.

“Untuk baki tahun ini, saya tidak melihat emas akan menguji semula pada tertinggi sehingga Januari tahun depan, namun minat pelabur runcit terhadap emas berada di tahap yang sangat tinggi,” katanya ketika dihubungi BH, baru-baru ini.

Zambrano berkata, harga emas mencatat kenaikan luar biasa dari paras terendah pada 2018 iaitu AS$1,156.90 seauns, namun kenaikan terhad ketika ini memandangkan pertumbuhan harga yang direkodkan terlalu tinggi dan pantas.

Katanya, buat masa ini emas dijangka didagangkan kepada AS$1,727 seauns, tetapi berkemungkinan besar logam berharga itu berada pada paras lebih tinggi untuk tempoh jangka panjang.

“Untuk tempoh jangka pendek, kita akan melihat penurunan atau sebaliknya. Apabila ia melepasi AS$2,000, ia mungkin permulaan untuk pergerakan lebih tinggi.

“Jika Biden gagal menguasai Senat, kenaikan harga emas akan terhad dan harga emas mungkin tidak akan banyak berubah,” katanya.

Mengenai penemuan vaksin COVID-19 memberi kesan kepada pergerakan harga logam berharga itu, beliau menjelaskan, ketika syarikat farmaseutikal gergasi Amerika Syarikat (AS), Pfizer bersama firma Jerman, BioNTech mengumumkan mengenai vaksin, harga emas susut AS$116 pada 9 November.

Bagaimanapun, katanya, beberapa hari kemudian, firma bioteknologi AS, Moderna mengumumkan vaksin percubaannya untuk COVID-19 berkesan 94.5 peratus, menandakan kejayaan besar kedua dalam pemburuan vaksin menyaksikan harga tidak terus menyusut.

“Ia berkait rapat dengan kemampuan syarikat untuk mengkomersialkan jumlah dos vaksin mereka. Sebagai contoh, Moderna hanya mampu membekalkan 20 juta dos kepada AS, manakala tahun depan antara 500,000 hingga sejuta dos.

“Namun, beberapa syarikat syarikat sedang melaksanakan kajian fasa 3 untuk vaksin COVID-19. Antaranya, AstraZeneca yang akan mengumumkan keputusan ujian pada akhir Disember, sambil dunia turut menantikan keputusan dari Johnson and Johnson.

“Mungkin antara dua syarikat besar ini akan menyertai Pfizer dan Moderna tidak lama lagi. Ia bermakna, ada tiga syarikat yang akan membekalkan vaksin COVID-19.

“Berita ini akan mengurangkan potensi rangsangan fiskal dan menjejaskan daya tarikan emas sebagai aset selamat,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *