SESB Laksana Pemotongan Bekalan Bil Tertunggak Bermula Disember

SESB akan membuat pemotongan bil tertunggak melebihi sembilan bulan bermula 6 Disember ini.

KOTA KINABALU: Bermula 6 Disember, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) akan melaksanakan pemotongan bekalan elektrik kepada pengguna yang mempunyai jumlah bil tertunggak melebihi sembilan bulan.

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB, Ir. Norhizami Abu Hasan berkata pengguna perlu menjelaskan bil elektrik masing-masing setiap bulan walaupun SESB tidak melaksanakan pemotongan sejak Mac 2020 berikutan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Rekod kami menunjukkan terdapat kumpulan pengguna yang tidak membayar bil elektrik selama lebih sembilan bulan dan secara tidak langsung keadaan ini akan memberikan impak besar kepada SESB.

“SESB faham sememangnya ada pengguna yang terkesan dengan PKPB yang sedang dikuatkuasakan sekarang ini, justeru itu, SESB akan memberikan ruang kepada mereka yang mempunyai tunggakan bil elektrik berbincang dengan pihak SESB bagi mencari jalan penyelesaian yang baik,” katanya dalam satu kenyataan media.

Norhizami juga memaklumkan, jumlah tunggakan bil pengguna kini telah mencecah jutaan ringgit.

Pengguna yang mempunyai masalah untuk menjelaskan tunggakan bil elektrik mereka, boleh menghubungi pegawai SESB di pejabat SESB berdekatan bagi tujuan perbincangan kaedah pembayaran yang bersesuaian.

Pembayaran bil elektrik boleh dilakukan melalui pelbagai saluran pembayaran antaranya di Kiosk Pembayaran SESB, kaunter Pos Malaysia, perbankan atas talian, dan e-Wallet seperti GrabPay, Touch & Go dan MyBoost. – AWANI

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *