Sebanyak 4,496 Sampel Covid-19 Masih Tertunggak Di Sabah

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Sabah masih berdepan dengan sampel ujian Covid-19 yang tertunggak ketika ini, dengan 4,496 sampel yang belum diproses.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, bilangan sampel tertunggak itu dicatatkan setakat semalam. Daripada 4,496 sampel ujian itu, 64 peratus akan diproses di Sabah sementara selebihnya akan diproses di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, kapasiti makmal bagi memproses sampel Covid-19 di Sabah ketika ini hanya 2,700 sehari dan diharap jumlah itu dapat ditingkatkan kepada 4,000 sampel setiap hari pada tahun hadapan.

Menyentuh mengenai penggunaan katil di Hospital Queen Elizabeth (HQE) dan Hospital Duchess of Kent (HDK) Sandakan, sehingga kini peratusan penggunaan katil di HQE adalah sebanyak 68 peratus dan HDK Sandakan pula 59 peratus. Sementara kapasiti penggunaan katil di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS), Likas sebanyak 61 peratus.

Bagaimanapun, keadaan ini tidak berlaku setiap hari kerana peratusan penggunaan katil sentiasa meningkat dan menurun mengikut bilangan kes baharu dan kes pulih.

Masidi berkata, kapasiti katil di HQE lebih tinggi berbanding hospital di daerah lain kerana pesakit dari daerah sekitar Kota Kinabalu turut dihantar ke HQE.

Mengenai saringan di Penempatan Telipok pula, sehingga semalam seramai 1,561 orang di Penempatan Telipok telah disaring dan 131 didapati positif dan 276 masih menunggu keputusan.

Manakala, saringan di Kampung Numbak pula, daripada 872 penduduk yang disaring, 72 orang didapati positif dan 113 sampel masih menunggu keputusan.

Beliau berkata, jika melihat bilangan kes positif di kedua-dua lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ini, kes adalah terkawal.

“Biarpun sebelum ini saya menyatakan ada kemungkinan jumlah kes positif di kedua-dua tempat ini tinggi dan akan menambah statistik kes yang tinggi di Sabah tapi, setakat ini kes yang dikesan masih dalam jumlah terkawal. Walaupun belum semua hasil ujian diketahui,” jelasnya. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *