Polis Cedera Diserang Lelaki Di Pulau Gaya

Rantai mesin gergaji yang didakwa digunakan dalam kejadian anggota polis diserang di Kampung Pondo, Pulau Gaya, hari ini. 

KOTA KINABALU: Seorang anggota polis mengalami kecederaan di bahagian kaki dan tangan selepas diserang lelaki yang marah ditegur semasa leka menghidu gam di Kampung Pondo Pulau Gaya di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata kejadian jam 10.30 pagi berlaku apabila sepasukan polis menjalankan rondaan Ops Poket sebelum menegur seorang lelaki yang sedang menghidu gam.

“Sebaik anggota polis memperkenalkan diri, suspek bertindak agresif dengan memaki hamun anggota polis terbabit dan lebih teruk suspek juga mengugut untuk membunuh pasukan kita.

“Tidak lama kemudian suspek melibas rantai besi yang dipegangnya beberapa kali ke arah pasukan polis sebelum tangkapan dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati tiada barangan terlarang pada badan suspek yang berumur 21 tahun dan tiada dokumen pengenalan diri terbabit.

“Polis kemudiannya merampas rantai besi dipercayai rantai ‘chainsaw’ yang diubahsuai sebagai senjata.

“Suspek dan barang kes dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah untuk menakutkan penjawat awam yang menjalankan tugas sah di sisi undang-undang.

“Suspek juga akan disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya.

Dalam pada itu Habibi berkata anggota polis yang diserang mengalami kecederaan di bahagian kaki dan tangan kanan. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *