Patuh SOP, Kita Akan Berjaya Kekang Covid-19

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR: Semua pihak perlu meningkatkan kesiapsiagaan daripada pelbagai segi bagi menghadapi Covid-19 dengan lebih berkesan.

Setakat ini, persediaan yang diambil untuk menangani wabak termasuk aspek kesihatan awam dan kawalan pergerakan sejak Disember tahun lalu adalah pencegahan terbaik dan berkesan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, harapan juga kini tertumpu kepada vaksin yang akan diterima untuk menangani wabak terbabit.

Katanya, yang penting ketika ini ialah pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan rakyat yang mampu mengekang penularan wabak di negara ini.

“Kita perlu bekerjasama secara sepadu antara kerajaan dan rakyat.

“Ini adalah kali pertama kita lihat kerjasama yang sepadu antara KKM dengan kementerian lain.

“Hampir setiap hari kita ada mesyuarat untuk melihat kepada pelaksanaan membendung penyakit Covid-19 dalam negara. Jadi kita perlu mempertingkatkan kesiapsiagaan melihat bagaimana kita dapat kawal dan mencegah penularan,” katanya dalam taklimat khas di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata, modifikasi tingkah laku setiap individu dengan norma baharu dan semua orang perlu belajar bagaimana untuk hidup dengannya.

“Data antarabangsa menunjukkan kawalan pergerakan adalah langkah efektif.

“Kita tengok penularan di Sabah ke Selangor ke Negeri Sembilan mengambil masa antara 14 hingga 21 hari, iaitu tempoh inkubasi selama 14 hari dan seminggu untuk ia menular.

“Kalau ada pergerakan penduduk, inilah kebimbangan KKM, penularan memakan masa 21 hari.

“Ada ramai yang tanya saya hari itu adakah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPB) ini gagal, bagi saya tidak gagal. Saya harap dalam masa akan datang kita dapat kerjasama padu daripada rakyat Malaysia untuk patuh kepada SOP,” katanya.

Katanya, KKM juga memberi tumpuan kepada kesepaduan penggunaan digital dan media sosial untuk membantu membuat keputusan dan tindakan positif.

Menurutnya, Malaysia mendapat Anugerah Kecemerlangan ICT Global WITSA 2020 kategori ‘Penyelesaian Teknologi Covid-19 Untuk Negara dan Wilayah’ dua hari lalu.

“Kita akan lihat kepada bagaimana kita hendak mempertingkatkan penggunaan platform digital untuk membantu kita,” katanya.

Menurutnya, setakat ini, 24, 039,602 pengguna mendaftar aplikasi MySejahtera dengan daftar masuk sebanyak 1,749,008576.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *