Hospital Di KK, Sandakan Paling Ramai Pesakit Covid-19

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengakui beberapa hospital Covid-19 di Sabah, khususnya di bandar raya ini dan Sandakan menampung kapasiti pesakit yang tinggi.

Bagaimanapun, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, keadaan itu tidak berlaku sepanjang masa kerana ada pesakit dibenarkan keluar wad setiap hari.

“Secara keseluruhannya tiada masalah katil tidak mencukupi di hospital di Sabah setakat ini tetapi kita mengakui kapasiti pesakit di beberapa hospital seperti di Kota Kinabalu dan Sandakan agak tinggi berbanding di tempat lain.

“Bagi hari ini saja, Hospital Queen Elizabeth (HQE) merekodkan 68 peratus penggunaan katil, manakala 61 peratus di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah.

“Hospital Duchess Of Kent, Sandakan pula merekodkan 59 peratus penggunaan katil pada hari ini. Ia bermakna masih ada katil boleh digunakan di hospital terbabit,” katanya pada sidang media perkembangan semasa Covid-19 Sabah di sini, malam tadi.

Beliau berkata, penggunaan katil yang tinggi di hospital terbabit disebabkan ia turut menerima ramai pesakit dari luar daerah.

Secara keseluruhan, katanya, hanya 35 peratus daripada 6,478 katil, masing-masing 990 katil di hospital dan 5,480 di Pusat Rawatan dan Kuarantin Berisiko Rendah (PKRC) di seluruh Sabah setakat hari ini.

Bagi penggunaan katil di PKRC, menurut beliau, ada di antara yang digunakan setakat hari ini tiada pesakit atau sifar penggunaan katil.

Sementara itu, Masidi berkata, kerajaan negeri pada hari ini membuat keputusan memansuhkan kenyataan media bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bertarikh 4 September lalu berhubung sekatan Pas Lawatan Jangka Panjang bagi warga negara India, Indonesia dan Filipina.

Beliau berkata, kerajaan negeri yang baharu menerima pakai ketetapan Kerajaan Persekutuan mengenai sekatan kemasukan ke Malaysia kepada pemegang pas lawatan jangka panjang bagi negara berisiko tinggi Covid-19 melalui surat Ketua Pengarah Imigresen bertarikh 4 September 2020.

Katanya, surat itu menyenaraikan sekatan masuk individu dari 23 negara Amerika Syarikat, Brazil, India, Russia, Peru, Colombia, Afrika Selatan, Mexico, Sepanyol, Argentina, Chile, Iran, United Kingdom, Bangladesh, Arab Saudi, Pakistan, Perancis, Turki, Itali, Jerman, Iraq, Filipina dan Indonesia.

“Ia termasuk pemastautin tetap, pemegang Pas Program Malaysia My Second Home (MM2H), ekspatriat (pas penggajian kategori I, II dan III), pas lawatan ikhtisas dan pas tanggungan, pas suami atau isteri kepada warganegara, pas pelajar dan pas lawatan kerja.

“Bagaimanapun, kerajaan negeri boleh memberi kelonggaran kepada individu yang mendapat kelulusan masuk daripada Ketua Pengarah Imigresen tertakluk kepada peraturan ditetapkan di Sabah, khususnya diplomat, anak kapal dan pekerja profesional sektor minyak dan gas. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *