Covid-19: 1,041 Kes Baharu, 3 Kematian Hari Ini

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan, Putrajaya.

KUALA LUMPUR: Kes positif Covid-19 hari ini kembali meningkatkan kepada empat angka dengan 1,041 kes direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setakat jam 12 tengah hari.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Hisham Abdullah berkata, angka itu menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Malaysia 53,679 kes.

Menurutnya, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula ialah 12,854 kes dengan 108 kes positif sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) manakala 45 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Hari ini jumlah kes Covid-19 yang sembuh ialah 1,405 kes menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya adalah 40,493 kes.

“Sebanyak 1,039 kes adalah penularan dalam negara manakala dua kes mendapat jangkitan dari luar negara,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, hari ini sebanyak tiga kematian direkodkan membabitkan dua lelaki dan seorang wanita berusia 55 hingga 78 tahun yang semuanya kes di Sabah.

Dr Noor Hisham berkata, KKM juga mengesan tiga lagi kluster baharu hari ini dengan jumlah keseluruhan kluster aktif adalah 168 kluster dengan 36 kluster merekodkan penambahan kes.

Katanya, Kluster Penjara Jalan Harapan membabitkan Penjara Sungai Buloh hasil saringan kemasukan tahanan yang membabitkan 17 kes positif selepas saringan dijalankan terhadap 113 individu.

“Kluster seterusnya adalah Kluster Kota Kecil di Kota Tinggi, Johor dengan sembilan individu disahkan positif dan dimasukkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang untuk rawatan lanjut.

“Selain itu, Labuan merekodkan Kluster Sky Coklat yang merekodkan tujuh kes positif dan sudah dimasukkan ke Hospital Labuan,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *