PKPD Kota Belud: Penduduk Risau Bekalan Makanan Tidak Cukup

Penduduk di dua lokaliti di daerah di Kota Belud yang diletakkan di bawah PKPD mengeluh kerana tidak dapat keluar mencari rezeki. – Gambar Astro AWANI

KOTA BELUD: Penduduk di dua lokaliti di daerah di Kota Belud yang diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bimbang kekurangan bekalan makanan.

Menurut seorang penduduk Kampung Tegudon, Angelbert Adof Nain, 47, pendapatan utama penduduk selama ini adalah dari sumber pertanian.

Namun, katanya, akibat perintah PKPD yang bermula hari ini sehingga 3 Disemberr, penduduk tidak dibenarkan bertani dan menjual hasil tani.

“Memang kami akur dengan perintah kerajaan sebab kita pun tidak tahu penyakit ini. Jadi sekarang kami sebagai petani tidak boleh buat apa dan hanya duduk di rumah sahaja.

“Kami serah kepada kerajaan untuk membantu kami, itu sahaja cara yang ada sebab PKPD ini sampai bulan Disember.

“Bekalan makanan kami tidak tentu sebab kalau keluarga yang bilangan anak beranak dan adik-beradik mungkin makanan cepat habis,” katanya kepada ketika ditemui di Kampung Tegudon dan Kampung Nahaba pada Jumaat.

Dalam tinjauan di Kampung Nahaba yang bersebelahan dengan Tegudon pula, penduduk menzahirkan hasrat dan kebimbangan yang sama.

Menurut Tuju Pangkalan, 49, beliau sudah tidak dibenarkan ke sawah padi susulan perintah terbabit.

Selain beliau penduduk lain yang berkebun getah juga katanya tidak dibenarkan melakukan aktiviti menoreh.

Berkenaan bekalan makanan, Tuju berkata, dia mulai bimbang kerana bekalannya hanya cukup untuk seminggu.

“Saya rasa setakat ini kami masih ada makanan sebab kami baru dapat bantuan dari pejabat daerah.

Cuma saya harap akan datang ini bagi lagi sebab untuk dua minggu ini saya rasa bekalan makanan memang kurang.

“Penduduk di kampung kami Nahaba dan Tegudon memang tidak bebas lagi untuk keluar begitu juga dengan aktiviti harian seperti menoreh getah dan sawah padi juga tidak dibenarkan.

“Keperluan kami sekarang ini memang sudah tidak terurus, jadi sebarang bantuan kami mohon agar disegerakan,” katanya.

Pada 18 November lalu, Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengumumkan perintah PKPD di dua lokaliti tersebut dilaksanakan selepas 36 kes positif COVID-19 direkodkan sehari sebelum itu.

PKPD dikedua-dua kampung terbabit bermula 20 November hingga 3 Disember ini yang melibatkan seramai 1,740 penduduk. – AWANI

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *