Konsulat RI Tawau Bantu Warganya Yang Terjejas

Iskandar (tengah) menyerahkan bantuan bakul makanan kepada warganya. – Foto Facebook Konsulat RI Tawau

TAWAU: Konsulat Republik Indonesia (KRI) Tawau mengambil inisiatif membantu warganya di daerah ini yang terjejas pendapatan dengan melaksanakan pemberian bakul makanan.

Sejak penularan pandemik wabak COVID-19 berlaku, KRI Tawau sudah menjalankan aktiviti pemberian bantuan ini sebanyak 73 kali untuk warganya di sekitar daerah Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu.

Iskandar bersama kakitangan KRI Tawau menyerahkan bantuan bakul makanan kepada warganya. – Konsulat RI Tawau

Pegawai fungsi pensosbud KRI Tawau Emir Faisal ketika dihubungi berkata, pihaknya sangat prihatin dengan kesusahan warganya yang terjejas susulan penularan wabak dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

“KRI Tawau memahami ada warganya kini tidak bekerja dan terputus mata pencarian kerana tempat mereka bekerja terpaksa ditutup atau mengehadkan jumlah pekerja.

Iskandar bersama kakitangan KRI Tawau menyerahkan bantuan bakul makanan kepada warganya. – Foto Konsulat RI Tawau

“Kami turut menerima maklum balas, ramai rakyat Indonesia di daerah ini terputus bekalan makanan yang hanya mengharapkan bantuan daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai,”katanya.

Menurutnya, KRI Tawau sudah mengenal pasti rakyatnya yang terjejas dan pihaknya sudah turun padang melihat serta memberikan bantuan bekalan makanan dengan segera.

“Kelmarin, sebanyak 222 orang rakyat Indonesia menerima bantuan tersebut yang disampaikan sendiri oleh pemangku Ketua Perwakilan KRI Tawau Iskandar Abdullah.

“Penyerahan bantuan kali ini juga untuk mereka yang sudah dikenal pasti sangat terjejas di tiga lokasi iaitu di Jalan Habib Abdul Rahman, Jalan Damai dan Batu 6 Jalan Apas,”katanya.

Iskandar bersama kakitangan KRI Tawau menyerahkan bantuan bakul makanan kepada warganya. – Foto Konsulat RI Tawau

Emir berkata penyampaian bantuan tersebut dilakukan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) dan mengambil langkah selamat dengan mengurangkan jumlah penerima dalam satu-satu masa.

“Pihak KRI Tawau sentiasa mengikuti perkembangan yang dilakukan oleh pihak kerajaan negeri Sabah dalam usaha memutuskan rantaian wabak COVID-19 di daerah ini,”katanya. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *