Pasukan Khas Tangani Samun, Rompak Di perairan ESSZONE

Komander ESSCOM, Datuk Ahmad Fuad Othman

KUNAK : Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) menubuhkan pasukan khas bagi membanteras kes samun dan rompakan di laut khasnya di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Komander ESSCOM, Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, penubuhan pasukan khas itu adalah komitmen berterusan pasukan keselamatan dalam menangani sebarang aktiviti yang mengancam keselamatan komuniti maritim.

“Operasi khas akan turut dijalankan selaras dengan penubuhan pasukan itu,” katanya menerusi satu kenyataan ringkas di sini, hari ini.

Jelas Ahmad Fuad lagi, beberapa kejadian samun dan rompakan di laut dilaporkan berlaku di kawasan perairan ESSZONE termasuk di Lahad Datu, Kunak dan Semporna sejak kebelakangan ini.

Terbaru kejadian rompakan dilaporkan di sebuah bagang bergerak berhampiran Pulau Burung, dekat sini, pada Ahad lalu membabitkan tiga mangsa termasuk pengusaha bagang berkenaan.

Dalam kejadian 3 pagi itu, sebuah bot dinaiki tiga suspek lelaki bertopeng dan berpakaian gelap dengan loghat asing menghampiri bagang berkenaan sebelum merompak sebuah enjin, dua tong ais, dua telefon bimbit termasuk satu jerrycan berisi 25 liter minyak petrol milik mangsa.

Bagaimanapun, Ahmad Fuad percaya kejadian itu tidak membabitkan elemen luar tetapi suspek dari ‘kelompok dalaman’.

ESSCOM ketika ini berusaha mengesan semua suspek yang dipercayai masih berada dalam perairan negara. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *