Kumpulan Bantuan Sabah Tukar Beg Sampah Dengan Makanan

Penduduk kampung dari Pulau Mabul menukar beg sampah untuk pek makanan sempena projek Mabul Trash Heroes. (Gambar Facebook Semporna Heroes).

SEMPORNA: Sebuah kumpulan bantuan yang berpusat di Semporna melancarkan projek menukar bungkusan makanan untuk beg sampah yang dikumpul penduduk Pulau Mabul.

Projek Mabul Trash Heroes selama 3 hari yang bermula Ahad lalu, menyusul kejayaan inisiatif terdahulu Semporna Heroes ke pulau itu untuk mengagihkan makanan.

Pengasas Semporna Heroes, Samuel Lee berkata, mereka mahu menggabungkan usaha bantuan mereka dengan pendidikan.

Itu merupakan sebab projek ini dilancarkan kerana mereka berharap dapat meningkatkan kesedaran penduduk tentang kebersihan untuk mencegah penyakit seperti Covid-19, denggi dan taun.

“Kami biasanya pergi ke pulau itu penuh dengan makanan dan kita balik dengan bot kosong. Kali ini, kita mahu pergi penuh dengan makanan dan balik penuh dengan sampah.”

Dua hari pertama, mereka berjaya mengumpul hampir 7 tan sampah dari pulau itu dan berharap dapat mengumpul tambahan 7 tan ketika inisiatif itu berakhir.

“Mabul ialah syurga menyelam, jadi ketika perniagaan pelancongan berkembang pesat dan resort beroperasi, ada banyak pergerakan bot antara Mabul dan Semporna, serta sampah boleh dibawa semula ke daratan untuk dilupuskan,” kata Lee.

Beg sampah ditinggalkan di pantai oleh penduduk Pulau Mabul.

“Tetapi, sampah mula bertimbun semasa pandemik kerana tanpa pelancong yang datang, tiada orang yang mengutipnya.”

Setiap bungkusan makanan mengandungi 10kg beras, 1kg minyak masak, sebotol kicap, 1kg tepung gandum, 1kg gula, sebungkus kopi serta mi goreng.

Untuk mendapatkan bungkusan makanan itu, katanya, penduduk perlu menyerahkan 5 beg penuh dengan sampah kepada penganjur, dari rumah mereka atau dikutip dari pantai.

Kumpulan itu mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengamalkan penjarakan fizikal dan melakukan banyak perkara dalam memastikan semua penduduk bergilir mengambil makanan tanpa bersesak.

Lee berkata, sukarelawan perlu menjalani ujian swab dan disahkan negatif untuk menyertai projek itu.

Beliau berkata, sambutan penduduk sangat baik dan berharap mereka dapat memperluaskan program itu ke pulau lain yang mempunyai longgokan sampah. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *