Darurat Batu Sapi: Kehidupan Seperti Biasa, Tiada Pemerintahan Ala Tentera

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan kehidupan rakyat akan berjalan seperti biasa walaupun darurat diisytiharkan di Batu Sapi, Sabah.

Perdana Menteri menegaskan pengisytiharan darurat itu tidak akan menyaksikan sebarang perintah berkurung atau pemerintahan tentera di negeri itu.

“Kegiatan ekonomi, pentadbiran kerajaan, kegiatan sosial boleh diteruskan, tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) dan norma baharu bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabah,” katanya dalam perutusan khas, sebentar tadi.

Terdahulu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, menerusi kenyataan dilaporkan berkata Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, memberi perkenan untuk mengisytiharkan Proklamasi Darurat di Parlimen Batu Sapi, Sabah.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - foto BERNAMA
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. – foto BERNAMA

Perkenan itu dizahirkan selepas Seri Paduka berpuas hati dengan penjelasan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mengelak pilihan raya kecil (PRK) sebagai langkah proaktif membendung risiko penularan gelombang keempat wabak COVID-19.

Muhyiddin berkata, Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi akan diadakan dengan kadar segera, tertakluk kepada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan bagi menghormati hak demokrasi setiap pengundi di daerah berkenaan.

“Bagi pihak Jemaah Menteri, saya menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong yang memperkenankan nasihat Jemaah Menteri supaya darurat diisytiharkan di bahagian Pilihan Raya Parlimen P.185 Batu Sapi, Sabah.

“Titah perkenan Seri Paduka ini menunjukkan keprihatinan Tuanku terhadap keselamatan dan kesejahteraan rakyat jelata yang saya percaya sentiasa dekat di hati baginda.

“Saya berdoa ke hadrat Allah, mudah-mudahan langkah yang diambil oleh kerajaan ini adalah satu hikmah yang dapat membantu membendung wabak COVID-19 dan melindungi nyawa rakyat.

“Langkah ini juga adalah bertepatan dengan hasrat sebahagian besar rakyat yang tidak mahu pilihan raya diadakan semasa pandemik COVID-19 sedang melanda negara.

“Marilah kita bersama-sama memanjatkan doa ke hadrat Ilahi agar pandemik ini segera berakhir dan kita semua dilindungi daripada sebarang musibah. Amin Amin Ya Rabbal Alamin,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *