Usah Guna Wang i-Sinar Jadi Modal Perniagaan

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR: Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang layak mengeluarkan caruman dalam program i-Sinar dinasihatkan tidak menggunakan wang berkenaan sebagai modal perniagaan.

Sebaliknya, wang berkenaan perlu digunakan sebaik mungkin untuk meneruskan kelangsungan hidup akibat tiada pekerjaan dan hilang punca pendapatan, kata pakar ekonomi.

Ketua Ekonomi Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan Pejabat Insurans Pekerjaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari, berkata menggunakan wang berkenaan untuk memulakan perniagaan dianggap berisiko kepada pencarum.

“Bagi pencarum yang terjejas mata pencarian dan ingin memulakan perniagaan, mereka perlu melalui saluran yang betul seperti mendapatkan bantuan daripada agensi kerajaan yang khusus, bukan bergantung kepada wang i-Sinar.

“Pencarum kena berhati-hati menggunakan wang pengeluaran yang ada dalam keadaan tidak menentu ini kerana risiko adalah tinggi jika ingin melaburkan semuanya dalam perniagaan, ” katanya kepada BH, di sini.

Semalam, KWSP mengumumkan akan memperkenalkan kemudahan akses simpanan persaraan Akaun 1, i-Sinar yang akan memberi manfaat kepada dua juta ahlinya yang kehilangan pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji atau ketiadaan pendapatan.

KWSP akan memberikan pendahuluan kepada ahli yang terjejas dengan dikreditkan dalam akuan bank ahli pada hujung bulan selepas permohonan dibuat bermula Januari 2021.

Mohd Yusof berkata, keputusan KWSP untuk memfokuskan kepada golongan bersasar dan amat memerlukan saja adalah adil dalam mengimbangi keperluan rakyat dan ekonomi negara.

Katanya, jika semua ahli dibenarkan membuat pengeluaran, ia memberi kesan kepada dana KWSP dalam memacu pelaburan ekonomi yang bergantung kepada hasil tabungan kerajaan dan rakyat.

“Malaysia bakal menjadi negara tua pada 2030 dengan jangka hayat penduduk meningkat, bermaksud mereka ini memerlukan tabungan persaraan yang mencukupi,” katanya.

Penganalisis ekonomi pengguna, Prof Dr Mohamad Fazli Sabri berkata, KWSP perlu mengkaji semula syarat pengeluaran i-Sinar dengan mempertimbangkan juga permohonan daripada pencarum yang bekerja tetapi pendapatan mereka berkurangan.

“Golongan pekerja yang gaji mereka dipotong perlu dimasukkan dalam kumpulan yang seharusnya menerima manfaat ini kerana jika tidak dibantu, tentunya beban mereka bertambah, ” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *