‘Rela Mati Dalam Gelanggang Politik’ Bukti Shafie Angkuh, Ketepi Rakyat – MP Kimanis

Ahli Parlimen Kimanis Mohamad Alamin berkata, Sabah Shafie Apdal harus bertanggungjawab ke atas peningkatan kes Covid-19 di negeri itu kini berikutan keputusan beliau membubarkan DUN sebelum ini.

KUALA LUMPUR: Seorang ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dari Sabah menyifatkan Shafie Apdal sebagai ahli politik yang angkuh dan tidak mempedulikan kebajikan rakyat.

Ahli Parlimen Kimanis, Mohamad Alamin berkata demikian ketika mengulas kenyataan Shafie di Dewan Rakyat yang mempertahankan keputusan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri (PRN) dengan berkata, beliau “rela mati dalam gelanggang politik’ daripada menyerahkan kuasa kerajaan yang dipimpinnya ketika itu.

Katanya, pendirian Shafie itu juga membuktikan beliau secara langsung menunjukkan sikap tidak mengambil berat tentang kebajikan dan kepentingan rakyat ketika negara berhadapan dengan penularan wabak Covid -19.

“Sudah menjadi bukti bahawa PRN Sabah secara langsung menjadi punca utama kepada jangkitan serius Covid-19. Masalah itu sudah tentu boleh dielakkan sekiranya tidak ada PRN.

“Itu sebabnya kita menegaskan agar Shafie bertanggungjawab atas apa yang berlaku di Sabah sekarang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shafie ketika ditanya oleh Alamin di Dewan Rakyat tengah hari tadi apakah beliau kesal mencadangkan pembubaran DUN Sabah berkata, “saya rela mati dalam gelanggang politik daripada menyerahkan kerajaan”

“Biar rakyat tentukan,” tambahnya, menurut laporan portal Malaysiakini.

Menurut Shafie, PRN Sabah tidak akan diadakan sekiranya pentadbirannya “tidak diganggu”. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *