Kes Covid-19 Di Sabah Dijangka Naik Mendadak Dalam 2-3 Hari – Masidi

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Masidi Manjun berkata, setakat ini jumlah individu disahkan positif Covid-19 di skim petempatan Telipok adalah seramai 207 orang, manakala di Kampung Numbak 134 orang.

KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Masidi Manjun berkata, jumlah kes Covid-19 di Sabah, khususnya di Kota Kinabalu, mungkin akan meningkat mendadak dalam 2 atau 3 hari ini.

Katanya, ia susulan ujian saringan besar-besaran yang akan dilakukan di Kampung Numbak serta petempatan Telipok, dekat sini, mulai esok.

“Setakat ini, jumlah yang disahkan positif wabak itu di skim petempatan Telipok adalah seramai 207 orang, manakala di Kampung Numbak 134 orang.

“Ujian saringan akan dibuat oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) bermula esok dan saya ingin mengingatkan statistik kes harian Covid-19 di Sabah, khususnya di Kota Kinabalu, mungkin akan meningkat mendadak, bergantung kepada hasil ujian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media perkembangan Covid-19 di Sabah melalui aplikasi Zoom, di sini, hari ini.

Masidi berkata, selain warga tempatan, penduduk di 2 lokaliti berkenaan juga terdiri daripada warga asing.

“Jika dilihat berdasarkan statistik yang ada pada saya, 25.4% daripada 134 penduduk di Kampung Numbak yang disahkan positif (Covid-19) adalah warga asing, manakala di skim petempatan Telipok, daripada 207 yang positif, 13.4% adalah warga asing.

“Keutamaan sekarang adalah untuk menangani serta mengawal jangkitan penyakit ini (Covid-19), tidak kira sama ada dia orang tempatan atau warga asing.

“Sama ada mereka mempunyai dokumen atau tidak, kita serahkan kepada agensi kerajaan lain untuk membuat tindakan susulan,” katanya.

Terdahulu Masidi berkata, sebanyak 288 kes baru Covid-19 dicatatkan di Sabah hari ini, iaitu kurang 93 kes berbanding semalam.

“Daripada 288 kes ini, sebanyak 114 atau hampir 40% kes adalah dari daerah Kota Kinabalu, Tawau, Tuaran dan Penampang, manakala selebihnya, iaitu 174 kes adalah dari kategor lain.

“Selain itu, Sabah juga mencatat 4 kematian akibat Covid-19 hari ini, iaitu masing-masing 2 kes di Kota Kinabalu dan Tawau.

“Satu lagi kluster baru juga dikesan di negeri ini hari ini, iaitu kluster Matambai di Kota Kinabalu yang mencatatkan sebanyak 21 kes,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *