Kategori Pengeluar i-Sinar KWSP Perlu Diperluaskan

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dicadang memperluaskan kelayakan program i-Sinar kepada pencarumnya yang dikenakan potongan gaji sekurang-kurangnya 25 peratus.

Cadangan itu disuarakan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Pandan) ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Dr Wan Azizah berkata, berdasarkan pengumuman KWSP semalam, hanya ahli yang kehilangan pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji dan tiada sumber pendapatan yang lain dibenarkan mengeluarkan wang daripada Akaun 1 mereka.

“Saya berterima kasih kepada KWSP kerana mendengar rintihan rakyat yang disuarakan oleh wakil rakyat.. Bagaimanapun, saya mendapati bahawa yang layak mendapatkan kemudahan i-Sinar ini hanyalah ahli yang hilang kerja atau yang terpaksa bercuti tanpa gaji serta tidak mempunyai sumber pendapatan lain.

“Sebagai penambahbaikan, saya ingin mencadangkan supaya kemudahan ini ditawarkan juga kepada ahli KWSP yang pendapatan mereka dipotong sekurang-kurangnya 25 peratus,” katanya.

Justeru, beliau berharap proses permohonan program itu dipermudahkan kerana rakyat amat memerlukan wang untuk meneruskan kelangsungan hidup. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *