Covid-19: Sabah Catat 499 Kes Baharu & Empat Kematian

KOTA KINABALU: Selepas empat hari Sabah menunjukkan tren penurunan kes Covid-19, hari ini kes baharu di negeri ini meningkat kepada 499 kes.

Dua lagi kluster baharu dilaporkan di Sabah hari ini, iaitu kluster Avenue dan kluster Kejora.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, empat daripada lima kes kematian dilaporkan hari ini adalah di Sabah.

Sebanyak dua kes kematian dilaporkan di Hospital Queen Elizabeth dan satu kes masing-masing di Hospital Duchess of Kent, Sandakan dan Hospital Tawau.

Kesemua kematian lagi melibatkan dua warganegara dan dua bukan warganegara yang berusia antara 25 hingga 80 tahun dan kebanyakannya mempunyai sejarah penyakit kronik.

Manakala, satu lagi kematian dilaporkan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak.

Dengan itu, kes kematian yang dilaporkan di Malaysia meningkat kepada 318 kes, sementara kes kematian di Sabah menjadi 179 kes.

Secara keseluruhan sebanyak lima kluster baharu dilaporkan hari ini termasuk dua kluster di Sabah. Kluster lain adalah kluster Kasah, Kuala Lumpur yang mencatatkan 19 kes positif, kluster Summer, Pulau Pinang (3) dan kluster Mengketil (12).

Hari ini, sebanyak 1,210 kes positif baharu dilaporkan di seluruh negara, 1,191 kes adalah jangkitan tempatan manakala, 19 kes import.

Sementara, satu kes baharu dilaporkan di Wilayah Persekutuan Labuan dan bilangan kumulatif kes Labuan adalah sebanyak 1,186 kes.

Bilangan kes pulih yang dilaporkan hari ini adalah sebanyak 1,018 kes, dengan bilangan kumulatif kes pulih adalah sebanyak 36,624 kes.

Tambahan kes baharu hari ini menjadikan bilangan kumulatif kes di Malaysia sebanyak 49,730 kes. Sebanyak 12,788 kes aktif dengan 105 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 40 kes memerlukan bantuan alat pernafasan. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *