Sabah Belum Berhasrat Bina Hospital Tambahan Tampung Pesakit Covid-19, Kata Hajiji

Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor membuat persiapan sebelum sidang DUN Sabah bermula pagi tadi. (Gambar JKM)

KOTA KINABALU: Ketua menteri, Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri belum berhasrat untuk membina hospital tambahan bagi menampung pesakit Covid-19 di negeri berkenaan.

Katanya, ketika ini Sabah mempunyai 11 buah hospital kerajaan yang dijadikan pusat rawatan Covid-19 bagi kes pesakit di tahap 3 hingga 5.

“Ia termasuk Hospital Queen Elizabeth (QEH), Hospital Wanita & Kanak-Kanak, Hospital Duchess of Kent di Sandakan, Hospital Tawau, Hospital Lahad Datu, Hospital Keningau, Hospital Kota Marudu, Hospital Kudat, Hospital Semporna, QEH 2 dan Hospital Tambunan.

“Sementara itu bagi menangani kes Covid-19 tahap 1 dan 2, sebanyak 35 pusat kuarantin dan rawatan Covid (PKRC) dibuka, malah hospital medan di Tawau telah dibina dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, hari ini.

Sementara itu, Hajiji berkata sebanyak 542,523 ujian saringan Covid-19 (RT-PCR dan RTK Antigen) dijalankan bagi tempoh 1 Feb sehingga semalam.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 23,095 kes dikesan positif Covid-19.

“Kadar kebolehjangkitan atau R-naught (R0) di Sabah sehingga 15 Nov adalah 1.03, maksudnya seseorang yang positif boleh menjangkiti seorang lagi individu lain atau kontak rapat.

“Dari segi bilangan sampel dalam makmal, setakat semalam masih terdapat 3,755 sampel berada di makmal,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil langkah perlu untuk mengurangkan bilangan sampel dalam makmal seperti menggunakan sumber luar atau ‘outsourcing’ ke makmal swasta.

“Untuk makmal kerajaan, 2,700 sampel boleh diproses dalam sehari, iaitu di makmal kesihatan awam Kota Kinabalu, makmal Universiti Malaysia Sabah dan makmal QEH.

“Di samping itu, KKM menyediakan prosedur operasi standard baru, iaitu penggunaan Rapid Test Kit (RTK) Antigen sebagai ujian makmal untuk kes Covid-19 di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan daripada Adun PKR, Christina Liew (Api-Api) sama ada kerajaan berhasrat membina hospital tambahan serta langkah bagi menangani 12,000 sampel ujian swab Covid-19 yang masih belum diproses di negeri itu. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *