Habiskan i-Lestari Akaun 2, Baru Keluarkan i-Sinar Akaun 1 KWSP

KUALA LUMPUR: Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu menghabiskan jumlah pengeluaran maksimum inisiatif i-Lestari daripada Akaun 2 terlebih dahulu sebelum boleh membuat pengeluaran daripada Akaun 1 menerusi inisiatif i-Sinar.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Asri Hamidon, berkata itu adalah antara beberapa syarat yang diputuskan kepada pencarum yang layak memohon program i-Sinar.

“Untuk bantuan kepada pencarum KWSP, sebelum ini dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), kerajaan sudah membenarkan pengeluaran Akaun 2 di bawah i-Lestari sebanyak RM500 sebulan selama 12 bulan, dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM6,000.

“Dalam Belanjawan 2021 pula, kerajaan benarkan pengeluaran Akaun 1 oleh pencarum KWSP dengan beberapa syarat, antaranya ia disasarkan kepada golongan yang terjejas.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Asri Hamidon
Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Asri Hamidon

“Selain itu, pencarum (yang layak) perlu menghabiskan Akaun 2 di bawah jumlah maksimum i-Lestari terlebih dahulu, baru boleh dikeluarkan Akaun 1,” katanya dalam program Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan secara langsung di TV1, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kaedah untuk membolehkan inisiatif pengeluaran simpanan Akaun 1 KWSP turut dinikmati pencarum yang terkesan dalam tempoh pandemik COVID-19, selain mereka yang kehilangan pekerjaan.

Mengulas lanjut, Asri berkata, kerajaan sedang berbincang dengan KWSP mengenai beberapa kriteria lain untuk membantu lebih banyak pencarum yang terkesan menerusi pengeluaran simpanan Akaun 1.

“Kerajaan meminta KWSP supaya memperhalusi dan mempertimbangkan penambahbaikan kriteria pengeluaran.

“Kerajaan akan meneliti semua aspek tentang apa yang boleh dilakukan untuk menjamin kesejahteraan rakyat dan ekonomi negara,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *