Covid-19: Budak 8 Tahun Antara Tiga Kematian Terbaru Di Sabah

KOTA KINABALU: Kes baharu Covid-19 di Sabah semakin stabil dan terkawal apabila bilangan kes baharu kembali menunjukkan penurunan dengan 381 kes baharu dilaporkan, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tiga lagi kematian dilaporkan di Sabah iaitu dua kematian di Hospital Duchess of Kent, Sandakan dan satu kematian di Hospital Tawau.

Kematian hari ini turut melibatkan seorang kanak-kanak perempuan warganegara berusia lapan tahun yang meninggal dunia di Hospital Tawau. Dua kes kematian lagi melibatkan pesakit berusia 63 dan 77 tahun dan kedua-duanya mempunyai sejarah penyakit kronik.

Dengan itu, kes kematian yang dilaporkan di Malaysia meningkat kepada 309 kes, sementara kes kematian di Sabah menjadi 171 kes.

Dua lagi kluster baharu dilaporkan di Sabah hari ini iaitu kluster Plaza dan kluster Jalan Kalabakan, Sandakan.

Hari ini, daripada 1,208 kes positif baharu dilaporkan di seluruh negara, 1,202 kes adalah jangkitan tempatan manakala, enam kes import.

Sementara, 30 kes baharu dilaporkan di Wilayah Persekutuan Labuan.

Bilangan kes pulih yang dilaporkan hari ini adalah sebanyak 1,013 kes, dengan bilangan kumulatif kes pulih adalah sebanyak 47,417 kes.

Tambahan kes baharu hari ini menjadikan bilangan kumulatif kes di Malaysia sebanyak 47,417 kes. Sebanyak 12,323 kes aktif dengan 104 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 42 kes memerlukan bantuan alat pernafasan. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *