Benarkan Pengeluaran ‘One Off’ Bagi Pencarum Miliki KWSP Lebih RM10,000 – Zahid

KUALA LUMPUR: Pencarum yang mempunyai jumlah simpanan lebih RM10,000 dalam Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) wajar dibenarkan membuat pengeluaran ‘one-off’.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pencarum yang mempunyai simpanan kurang RM10,000 dalam akaun yang sama pula munasabah membuat pengeluaran bulanan sebanyak RM500.

Beliau berkata, ia adalah mekanisme yang sesuai bagi pengeluaran caruman Akaun 1 KWSP dalam Belanjawan 2021 yang sedang dibahaskan di Dewan Rakyat.

“Jika Kementerian Kewangan mendapati tidak semua pencarum mempunyai simpanan Akaun 1 melebihi RM10,000, maka beberapa penyesuaian hendaklah dilakukan. Mereka yang mempunyai simpanan Akaun 1 KWSP lebih RM10,000 tidak begitu sesuai jika bayarannya dibuat hanya RM500 sebulan.

“Mereka yang mempunyai simpanan Akaun 1 KWSP melebihi RM10,000 hendaklah dibayar sekali gus, bukannya pengeluaran RM500 sebulan. Ini kerana jumlah itu (RM500) tidak memenuhi matlamat mereka bagi membayar bebanan yang ditanggung.

“Pencarum yang mempunyai simpanan KWSP kurang RM10,000, adalah munasabah jika pengeluaran RM500 sebulan dapat dilaksanakan,” katanya selepas menziarahi warga emas, Miah Abdul Rahman, 81, yang terlantar akibat sakit tua di Kampung Baharu Batu 16, Hutan Melintang, dekat sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) sepakat menyokong permintaan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung pengeluaran simpanan KWSP.

Menurut Ahmad Zahid, saranan Najib harus diterima sebagai satu cadangan terbaik kerana rata-rata pencarum KWSP adalah mereka yang berpendapatan rendah, terutama yang mempunyai jumlah simpanan yang kurang RM10,000.

“Bagi pencarum KWSP yang mempunyai simpanan yang kurang daripada RM10,000 mesti ada mekanisme yang digunakan.

“Walaupun ucapan Belanjawan menyebut mereka telah dicadangkan untuk menerima RM500 sebulan, namun kaedah yang terbaik juga adalah bayaran sekali gus.

“Ini kerana wang itu tidak melibatkan perbelanjaan tambahan kepada kerajaan, wang itu adalah wang simpanan pencarum dalam KWSP,” katanya.

Terdahulu, Najib yang juga Pengerusi Kelab Ahli Parlimen Backbenchers (BN) menyatakan sokongan bersyarat terhadap Belanjawan 2021 dengan menuntut kerajaan membenarkan pengeluaran ‘one-off’ hingga RM10,000 daripada Akaun 1 selain melanjutkan moratorium. – Utusan

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *