Oldtown White Coffee Pemegang Sijil Halal Jakim

Pegawai KPDNHEP Selangor menyerbu restoran disyaki menggunakan bahan mentah tidak halal di dalam hidangan mi kari. Gambar ihsan KPDNHEP

KUALA LUMPUR: Oldtown White Coffee mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah.

Komunikasi Korporat Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam kenyataan berkata, semakan pihaknya mendapati premis makanan itu adalah pemegang SPHM dikeluarkan Jakim.

“Perlu difahami bahawa premis makanan yang memiliki SPHM bermaksud seluruh rantaian halalnya sudah disemak dan disahkan oleh pihak berautoriti.

“Malah, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga mengunjungi cawangan Oldtown White Coffee berkenaan untuk menjalankan siasatan lanjut dan mengesahkan dakwaan yang tular tidak benar,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, satu video tular di media sosial yang mendakwa mi kari premis terbabit tidak halal kerana menggunakan daging babi dalam kandungan makanan itu.

Justeru, Jakim menasihatkan anggota masyarakat lebih berwaspada sebelum menyebarkan sesuatu berita atau mesej tular berkaitan isu halal yang tidak diketahui status kebenarannya dengan merujuk pihak berautoriti.

Selain itu, masyarakat juga digalakkan mengutamakan produk atau premis makanan memiliki SPHM yang sah kerana dijamin halal dan toyyiban serta mengikut garis panduan ditetapkan.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat mengenai produk dan premis memiliki SPHM boleh melayari portal www.halal.gov.my atau melalui aplikasi SmartHalal. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *