Sabah Benarkan TASKA Beroperasi Semula

Sabah membenarkan TASKA beroperasi dalam tempoh PKPB. – Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri bersetuju membenarkan taman asuhan kanak-kanak (TASKA) beroperasi semula ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat hari ini.

“Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah hari ini membenarkan pembukaan semula operasi TASKA yang berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Am Sabah, di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sabah,” katanya.

Masidi turut memperinci prosedur operasi standard (SOP) yang harus dipatuhi TASKA berdaftar.

Katanya, tempoh operasi bagi TASKA bermula jam 6 pagi sehingga 6 petang dengan kapasiti 50 peratus, bergantung kepada keluasan lantai dan penjarakan fizikal.

Selain itu, katanya, ibu bapa juga diminta untuk menjadualkan waktu menurunkan kanak-kanak dalam bilangan kecil dengan jarak waktu antara lima hingga sepuluh minit dan harus disambut oleh pengasuh.

“Bagi pengasuh yang menguruskan bayi, harus memakai pakaian perlindungan peribadi (PPE) dan aktiviti berkumpulan atau bersentuhan tanpa penjarakan fizikal dilarang.

“Pengambilan balik kanak-kanak harus dibuat secara berperingkat,” katanya.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *