Mayat Dua Beradik Hanyut Di Sungai Liawan Ditemukan

Amber Lim, 4, yang ditemui di Sungai Pegalan dekat Kampung Sumbiling Tenom.

KENINGAU: Dua beradik yang hilang selepas pacuan empat roda dinaiki dihanyutkan arus deras di Sungai Liawan, Kampung Dangulad di sini, Isnin lalu ditemukan di dua lokasi berasingan, hari ini.

Mayat Amber Lim, 4, ditemukan pada jam 2.15 petang di Sungai Pegalan berhampiran Kampung Jawa Sumbiling, Tenom.

Manakala Jason Lim, 6, ditemukan di Sungai Sigapon dekat sini, kira-kira 10 minit kemudian, kira-kira tiga kilometer dari lokasi penemuan adiknya.

Ketua Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Keningau, Penguasa Bomba Yuszaimi Hairrul Azwan Juatan berkata, mangsa pertama ditemukan 19 kilometer dari lokasi kejadian Sungai Liawan, Kampung Dangulad.

Katanya, mangsa kedua pula ditemukan di daerah Tenom kira-kira 21 kilometer dari lokasi kejadian.

“Kedua-dua mangsa ditemukan terapung di sungai sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

“Sebaik penemuan itu, operasi yang bermula pagi tadi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3 petang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yuszaimi berkata, operasi hari ini dijalankan dengan kekuatan 25 keanggotaan membabitkan Balai Bomba Keningau dan Balai Bomba Tenom dan unit anjing pengesan (K9).

Katanya, operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Persatuan Pengakap dan penduduk kampung.

Dalam kejadian jam 12.08 tengah malam Isnin lalu, dua beradik berkenaan dalam perjalanan pulang ke rumah bersama bapa mereka.

Bagaimanapun, ketika cuba melintasi jambatan konkrit di kampung berkenaan kenderaan pacuan empat roda yang dipandu bapa mereka hanyut dihanyutkan arus deras. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *