Malaysia Akan Pertahan Sabah Hingga ‘Titisan Darah Terakhir’

Menurut Kamaruddin, setiap kali isu tersebut dibangkitkan, Malaysia akan menolak tegas dengan mengadakan nota bantahan kepada Kerajaan Filipina

KUALA LUMPUR: Malaysia tegas dengan pendirian tidak akan berkompromi dengan sebarang tuntutan asing terhadap Sabah, dan akan kekal mempertahankan wilayah itu sehingga ke titisan darah terakhir.

Timbalan Menteri Luar Datuk Kamaruddin Jaffar memaklumkan kepada Dewan Rakyat hari ini, tindakan itu selari dengan pendirian kerajaan sejak penubuhan Malaysia pada 1963.

Katanya, pendirian tersebut diambil berdasarkan Laporan Suruhanjaya Cobbold bahawa lebih dua pertiga rakyat Sabah ketika itu mengambil keputusan untuk bersama dengan Malaysia, bukannya negara lain.

“Untuk makluman, sejak perkara ini dibahaskan pada mesyuarat kedua penggal ketiga yang lepas di Kamar Khas dan di Dewan Negara, masih tidak ada apa-apa perubahan terhadap perkara ini.

“Kerajaan Malaysia telah lama menegaskan pendirian kita mengenai isu tuntutan Sabah secara jelas dan konsisten.

“Malaysia tidak akan sekali-kali dan sampai bila-bila melayan atau mengiktiraf sebarang bentuk tuntutan oleh mana-mana pihak asing ke atas negeri Sabah.

“Isu tuntutan ke atas Sabah oleh Filipina bukan sahaja tidak berasas, malah tidak relevan.

“Sabah adalah sebuah negeri dalam Persekutuan Malaysia berdasarkan keputusan Suruhanjaya Cobbold pada 1962, di mana rakyat Sabah telah melaksanakan hak menentukan sendiri (self-determination) status negeri mereka untuk berada di dalam Persekutuan Malaysia.

“Laporan Suruhanjaya Cobbold telah dikemukakan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1 Ogos 1962 dan mengesahkan bahawa lebih daripada dua pertiga rakyat Sabah memilih untuk menyertai Malaysia pada tahun 1963.

“Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort) yang ingin mengetahui status kedudukan Sabah berkaitan isu tuntutan negara Filipina terhadap negeri itu.

Mengulas lanjut, Kamaruddin berkata, beliau setuju dengan pandangan Azizah bahawa isu tersebut telah berlarutan sekian lama dan tenggelam timbul.

Ujarnya, setiap kali isu tersebut dibangkitkan, Malaysia akan menolak tegas dengan mengadakan nota bantahan kepada Kerajaan Filipina, membuat kenyataan media, serta memanggil Duta Besar Filipina ke Malaysia untuk menuntut penjelasan.

Kepada soalan tambahan Azizah berhubung langkah kerajaan bagi memastikan perkara itu tidak berlarutan, Kamaruddin berkata, Kerajaan Perikatan Nasional sentiasa serius dalam menjayakan Perjanjian Malaysia 1963.

“Dalam Belanjawan 2021, Menteri Kewangan telah umumkan belanjawan terbesar bukan saja kepada Malaysia tapi untuk Sabah sendiri.

“Tindakan ini untuk memastikan rakyat Sabah kekal menyokong keberadaan dalam Malaysia, dan akan menangkis percubaan mana mana negara untuk menuntut negeri itu,” katanya lagi.

Pada Ogos lepas, Filipina telah meluluskan rang undang-undang (RUU) baharu memasukkan Sabah dan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) sejauh 200 batu sebagai sebahagian peta pasport negara itu.

Situasi itu menimbulkan kemarahan beberapa pihak dalam negara ini, dan Kementerian Luar mengambil pendirian tegas membantah tindakan provokasi itu. – AWANI

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *