Sabah Derita, Perlu Bantuan Segera: Najib

Najib berkata Sabah adalah negeri yang paling terkesan dalam gelombang ke-3 Covid-19 dengan lebih 70% kes di seluruh negara direkodkan di Sabah.

KUALA LUMPUR : Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa bantuan segera pemberian dana tunai tambahan RM1,000 kepada rakyat Sabah, khususnya penerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

Beliau berkata, rakyat Sabah paling terjejas akibat gelombang ketiga pandemik koronavirus (Covid-19) dan mereka tidak boleh menunggu bantuan sehingga tahun hadapan.

“Rakyat Sabah perlukan bantuan sekarang, bukan tahun hadapan. Sebab negeri Sabah telah dilaksanakan PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) paling lama tempohnya dan merupakan negeri yang paling terjejas akibat pandemik itu,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Pembekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Pekan itu menjelaskan Sabah dijangka bakal menerima pembayaran cukai petroleum sebanyak RM1.25 bilion tahun hadapan membolehkan bantuan segera itu disalurkan.

Tambah beliau, Sabah perlu diberi perhatian khusus memandangkan negeri itu telah mencatatkan kadar kemiskinan tertinggi dan kadar pertumbuhan terendah dalam negara.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar kerajaan mewujudkan dasar ‘Pandang ke Borneo’, sebagai usaha menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai destinasi pelaburan yang berpotensi menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negara bagi masa sederhana dan panjang.

“Saya mencadangkan apa jua visi atau pelan yang dicorakkan kerajaan, perlu ambil pendekatan pandang ke Timur, tapi tak la jauh sampai ke Jepun. Cukup ke Borneo iaitu Sabah, Sarawak dan Kalimantan.

“Dua negeri ini ada sumber kekayaan asli yang amat besar, lokasi yang strategik, kerana berdekatan dengan negara membangun di Asia Timur berbanding Semenanjung Malaysia.

“Adalah tidak masuk akal kita biarkan syarikat-syarikat utama Malaysia hanya melabur di luar negara, tanpa mengambil kira Sabah dan Sarawak,” katanya. – SINAR

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *