PKPB Sabah: Majlis Jamuan Perkahwinan Masih Belum Dibenarkan

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Majlis jamuan perkahwinan belum dibenarkan di Sabah semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Sebaliknya, hanya acara pernikahan dan pendaftaran perkahwinan sahaja yang dibenarkan dalam prosedur operasi standard (SOP) PKPB yang dilonggarkan ketika ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, buat masa ini hanya upacara pernikahan dan pendaftaran perkahwinan di pejabat agama serta rumah ibadat sahaja yang dibenarkan.

“Acara ini tidak melibatkan jamuan makan selepas acara pernikahan jadi, jangan mengadakan majlis keramaian. Ia masih tidak dibenarkan.

“Sejak pelaksanaan PKPB pada 13 Oktober lalu, tiada kebenaran diberikan untuk mengadakan majlis perkahwinan,” katanya ketika mengulas mengenai kelonggaran SOP PKPB, di sini hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan analisa kluster, kebanyakan kes penularan berlaku dalam aktiviti sosial seperti kenduri, majlis kahwin dan majlis berinai.

Atas sebab itu, sebarang aktiviti sosial dan keramaian masih belum dibenarkan.

Katanya, kelonggaran SOP PKPB ini bukan bermakna rakyat balik keapda cara hidup lama sebaliknya kembali kepada norma baharu dengan pelbagai syarat dan SOP yang perlu dipatuhi. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *