Kes Positif Covid-19 Di Pantai Timur Sabah Menurun

KOTA KINABALU: Tiada sebarang daerah di Sabah mencatatkan kes positif Covid-19 tiga angka pada hari ini.

Sementara, hanya tiga daerah di Pantai Timur merekodkan kes baharu iaitu di Lahad Datu, Tawau dan Sandakan.

Hari ini Semporna dan Kunak tidak mencatatkan sebarang kes berikutan keputusan sampel di kedua-dua daerah itu belum diperoleh. Keputusan sampel akan diketahui dalam tempoh tiga hari atau 72 jam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun dalam satu kenyataan berkata, sebanyak 397 kes baharu Covid-19 dilaporkan di 15 daerah di Sabah.

Walau terdapat peningkatan 27 kes berbanding kes semalam namun, tiada daerah yang mencatatkan kes tiga angka.

Daerah Kota Kinabalu masih berada dikedudukan teratas dengan 92 kes positif, diikuti dengan Tawau (78), Lahad Datu (42), Sandakan (32), Tuaran (31), Kudat (28), Keningau (26) dan Penampang (21).

Sementara, Papar, Putatan dan Kuala Penyu mencatatkan 10 kes positif manakala, Ranau (8), Kota Belud (6), Sipitang (2) serta Pitas (1).

Daerah Kota Marudu dan Ranau kini berada dalam zon jingga, yang mencatatkan 21 kes hingga 40 kes.Sementara, Kinabatangan bertukar dari zon jingga kepada zon kuning.

Tiga kluster baharu dilaporkan di Sabah hari ini iaitu kluster Liawan, Keningau dengan 24 kes positif setakat ini; kluster Tatahan, Kota Kinabalu dengan 19 kes dan kluster GK Tawau dengan 49 kes.

Manakala, sebanyak enam kes kematian baharu dilaporkan hari ini iaitu dua di Sandakan, dua di Semporna dan satu kes masing-masing di Kota Kinabalu dan Telupid. Keseluruhan kes kematian di Sabah sehingga kini adalah sebanyak 162 kes.

Sebanyak 356 kes pulih dilaporkan di Sabah hari ini.

Setakat ini, sebanyak 21,189 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah, dengan 2,903 kes aktif yang sedang menerima rawatan dimana, 744 orang dirawat di hospital dan 2,159 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Terdapat 67 orang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 20 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Katanya, kapasiti katil di hospital dan PKRC seluruh Sabah ketika ini adalah sebanyak 8,993 katil, iaitu 1,010 di hospital dan 7,983 katil di PKRC. Kadar penggunaan katil adalah 32.28 peratus. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *