Hajiji Minta SPRM Tingkat Usaha Beri Kesedaran Cegah Rasuah Kepada Penjawat Awam

KOTA KINABALU, 11 Nov : Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meningkatkan usaha memberi kesedaran berkaitan pencegahan rasuah kepada golongan penjawat awam negeri dan Persekutuan yang berkhidmat di negeri itu.

Pengarah SPRM Sabah S. Karunanithy berkata hasrat itu disuarakan Hajiji ketika agensi berkenaan mengadakan kunjungan hormat ke atas beliau di pejabatnya di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah di sini hari ini.

Karunanithy dalam kenyataannya selepas kunjungan hormat itu menyebut bahawa Hajiji turut meminta supaya penekanan diberikan kepada syarikat berkepentingan kerajaan negeri dalam memberi kesedaran mengenai bahaya rasuah terhadap negara dan negeri.

“Beliau turut menyambut baik hasrat serta menzahirkan komitmen terhadap usaha dan program pencegahan rasuah yang diterajui SPRM Sabah pada masa akan datang,” katanya.

Beliau juga berkata kunjungan hormat itu bertujuan menjalin kerjasama strategik antara SPRM dan Kerajaan Negeri Sabah.

Turut hadir Timbalan Pengarah Operasi SPRM Sabah Hazrul Shazreen Abd Yazid, Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Sabah Awang Samsul Baharam Bungso dan Ketua Pasukan Petugas SPRM Sabah Syamsul Osman. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *