Ribut Tropika: Komuniti Maritim Sabah Dinasihatkan Berhati-Hati

KOTA KINABALU, 10 Nov : Komuniti maritim di negeri ini diminta berhati-hati ketika melakukan aktiviti di laut berikutan kesan ribut tropika yang ketika ini melanda kira-kira 929 kilometer dari barat laut Kudat.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah dan Labuan Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata ribut tropika itu boleh menyebabkan angin kencang, laut bergelora dengan ombak setinggi  2.5 hingga 3.5 meter di perairan Laut China Selatan.

“Kelajuan maksimum ribut tersebut ialah 65 km/j. Pihak Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan nasihat ribut tropika (VAMCO) yang berada di kedudukan kira-kira 120 km ke timur laut dari Nha Trang, Vietnam.

“Komuniti maritim haruslah sentiasa memeriksa keadaan bot dan feri agar sentiasa selamat sebelum memulakan pelayaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menasihati komuniti maritim agar memastikan segala aspek keselamatan diaplikasikan termasuk pemakaian jaket keselamatan.

“Peruntukan Ordinan Perkapalan Saudagar 1960 mewajibkan semua penumpang dan semua bot tidak kira saiz perlu mempunyai jaket keselamatan. Pengendali bot tidak mematuhi peraturan ditetapkan akan dikenakan tindakan undang-undang dan boleh dikompaun serta tindakan mahkamah akan diambil,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *