Operasi Mencari Dua Beradik Hilang Selepas Dihanyutkan Di Sungai Liawan, Keningau Diteruskan

Amber (kiri) dan abangnya Jason yang hilang selepas pacuan empat roda dinaiki bersama bapanya dihanyutkan arus deras Sungai Liawan, Kampung Dangulad, Keningau. Gambar ihsan pembaca

KENINGAU: Usaha mencari dua beradik yang hilang selepas pacuan empat roda dinaiki bersama bapa mereka dihanyutkan arus deras dalam kejadian di Sungai Liawan, Kampung Dangulad, di sini, masih diteruskan.

Mangsa yang hilang dikenali sebagai Jason Lim, 6 dan Amber Lim, 4.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Mudi Pengiran berkata, setakat ini, usaha pencarian dijalankan membabitkan 35 keanggotaan daripada pelbagai agensi masih gagal menemui kedua-dua mangsa.

Katanya, operasi pencarian dijalankan dilakukan meliputi kawasan Sungai Liawan tempat kejadian sehingga Sungai Pegalan.

“Operasi yang disambung semula jam 8.30 pagi tadi masih gagal menemui kedua-dua terbabit dengan dibantu pelbagai agensi lain.

“Pasukan bomba sudah mengerahkan keanggotaan terbabit supaya mencari mangsa menggunakan kaedah bersesuaian,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mudi berkata, usaha pencarian ini akan diteruskan lagi sehingga kedua-dua mangsa dapat ditemui.

Dalam kejadian malam tadi, kedua beradik dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah sebelum kenderaan pacuan empat roda yang dipandu bapa mereka hanyut ketika cuba melintasi jambatan konkrit di kampung berkenaan.

Kenderaan Toyota Hilux berkenaan hanyut selepas dibadai arus deras selepas air dikatakan tiba-tiba naik mendadak. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *