Luluskan RM10,000 KWSP, Luaskan Moratorium Untuk Dapat Sokongan BN – Najib

Najib berkata, mustahil hidup baharu golongan yang terjejas, dapat dimulakan dengan sekadar pengeluaran RM500 sebulan dari KWSP.

KUALA LUMPUR: Pengerusi Kelab Ahli Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memberitahu, sokongan beliau dan rakan-rakan terhadap Belanjawan 2021 adalah bersyarat.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau mahu rakyat dibenarkan membuat pengeluaran RM10,000 dari Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara one-off.

Selain itu, Ahli Parlimen Pekan itu berkata, kerajaan juga perlu memastikan pelanjutan moratorium diperluaskan kepada golongan M40, sehingga Jun 2021.

“Kita bukan sekadar wakil atau jurucakap sahaja. Yang baik kita puji, yang tak elok kita perbaiki, yang langsung tak boleh diterima harap dipinda atau dimansuhkan.

Harap kerajaan terbuka hati, dan mengambil kira pandangan dan cadangan.

“Belanjawan 2021 telah dapat menyediakan keperluan rakyat seperti yang saya terangkan tadi. Tetapi berdasarkan expectation (harapan) rakyat, perlu ditokok tambah dan buat penambahbaikan supaya penerimaan rakyat (terhadap Belanjawan 2021) akan menjadi lebih mantap dan menyeluruh,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbelanjaan (Belanjawan 2021) di Dewan Rakyat hari ini.

Najib, yang juga Menteri Kewangan antara tahun 2008 hingga 2018 berkata, beliau melihat pertumbuhan negara berada dalam paras terendah sejak sepuluh tahun lalu dan pembayaran dividen kepada rakyat juga berada pada kadar yang lembab.

Atas sebab itu, beliau berpandangan, pengeluaran RM10,000 dari KWSP bukan sahaja dapat membantu rakyat yang terdesak, bahkan tidak akan memberi kesan kepada pengiraan defisit negara.

“Ini saya maksudkan sebagai langkah berani dan luar biasa atau bold and unconventional method dalam keadaan luar biasa.

Dana ini amat diperlukan untuk menambah kitaran wang dalam ekonomi.

Pada masa ini kita sedar perbelanjaan kerajaan terhad dan langkah ini dapat membantu rakyat yang terdesak dan terkesan,” katanya lagi.

Najib berkata, tanggungjawab kerajaan bukan untuk menafikan hak rakyat, tetapi fokus harus tertumpu kepada usaha memulih dan memastikan kadar simpanan pencarum kembali bertambah.

Jelasnya lagi, perkara itu boleh direalisasikan melalui beberapa cara, antaranya membantu KWSP meraih pendapatan dengan pemberian projek seperti dilakukan sebelum ini seperti Kwasa Land, Battersea di United Kingdom dan pemilikan 46 peratus saham PLUS.

Keduanya, Najib turut menggariskan, kerajaan juga boleh mengubah struktur caruman pekerja dan majikan kepada kadar yang lebih tinggi selepas COVID-19 semakin pulih.

Dan ketiga, beliau mencadangkan agar kerajaan mengubah struktur pembayaran dividen melalui kaedah multi-tier dividend structure yang mana baki simpanan lebih rendah akan terima dividen lebih tinggi.

“Dengan ini simpanan masa tua pencarum yang terpaksa keluar one-off dari akaun pertama dapat dipulihkan dalam masa terdekat,” jelasnya lagi.

Najib berkata, pengeluaran wang RM10,000 itu amat penting untuk mereka yang kehilangan pekerjaan dan ingin memulakan hidup baharu seperti memulakan perniagaan, membeli alatan seperti motosikal dan sebagainya.

“Mustahil hidup baharu golongan yang terjejas, dapat dimulakan dengan hanya sekadar pengeluaran RM500 sebulan dari akaun tersebut,” kata Najib lagi.

Mengenai moratorium, Najib berkata, beliau bersetuju dengan ucapan perbahasan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, bahawa keuntungan bank tidak akan terjejas jika ia dilanjutkan dan diperluaskan kepada M40.

“Saban hari saya terima banyak aduan dan keluhan rakyat yang terkesan daripada pandemik COVID-19.

Jika kita lihat melalui platform media sosial seperti Facebook, dan Twitter, rata rata bukan sahaja saja dariB40, malah M40 turut terima impak yang sangat dasyat.

“Pada belanjawan kali ini, kerajaan hanya memanjangkan moratorium pada B40, itu pun tidak kepada semua.

Seakan-akan lupakan golongan M40 yang juga terima kesan yang besar daripada situasi yang kita hadapi,” tegas beliau lagi.

Sehubungan itu, Najib berkata, sokongan beliau dan rakan-rakan BNBBC tertakluk kepada kedua-dua perkara yang dibangkitkan itu. – AWANI

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *